PRN Sabah: Nik Mohd Nadzri Seru Rakyat Pilih Kestabilan Bersama BN

KENINGAU, 22 Okt – Ketua UMNO Bahagian Keningau, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi menegaskan bahawa sudah sampai masanya rakyat Sabah mengembalikan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negeri ini melalui pilihan raya negeri akan datang.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Sembang Santai bersama penduduk Kampung Lingkudau dan juga semasa sesi pertemuan bersama warga Taman Sabana, baru-baru ini yang membincangkan pelbagai isu setempat dalam suasana mesra dan terbuka.

Menurutnya, pengalaman luas BN dalam mentadbir negeri serta rekod cemerlang dalam menjaga kebajikan rakyat dan memastikan pembangunan seimbang di seluruh Sabah menjadi bukti nyata kemampuan gabungan itu.

“BN sudah terbukti berjasa. Kita tidak mahu lagi melihat rakyat terhimpit akibat ketidaktentuan politik. Sudah tiba masa kita kembalikan semula kepercayaan kepada BN untuk membawa kestabilan dan pembangunan sebenar kepada rakyat Sabah,” katanya.

Turut hadir dalam program tersebut ialah barisan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Keningau yang bersama-sama mendengar dan mengambil maklum permasalahan penduduk serta bermuafakat melaksanakan penyelesaian terbaik di peringkat akar umbi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO