PRN Sabah: Rekod Cemerlang BN, Bukti Mampu Bawa Kestabilan Untuk Rakyat – Ahmad Maslan

KOTA KINABALU, 21 Okt – Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod cemerlang dalam mentadbir negeri Sabah dengan membawa kestabilan serta kemakmuran kepada rakyat sejak puluhan tahun lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, pencapaian itu membuktikan BN bukan sahaja berjaya memperkukuh pembangunan negeri malah menjadi parti yang sentiasa membela kebajikan rakyat di setiap peringkat.

Menurutnya, pengalaman panjang BN mentadbir negeri ini menjadi bukti yang jelas bahawa parti tersebut mampu terus memacu pembangunan dan kemajuan sekiranya diberi semula mandat oleh rakyat.

“UMNO/BN mempunyai rekod yang cukup panjang mentadbir negeri Sabah serta kestabilan dan kemakmuran yang dibawa oleh parti ini. Rekod yang baik ini sewajarnya dijadikan ingatan kepada seluruh pengundi-pengundi negeri ini.

“Bagi mereka yang berumur lebih 50 tahun ke atas, mereka tahu perjalanan UMNO dan BN di negeri ini sejak 1991 hingga kini, parti ini membantu rakyat dengan begitu baik sekali terutamanya pembangunan, kestabilan negeri serta kemakmuran untuk rakyat.

“Sekiranya BN diberi mandat tentunya akan menambahbaik prasana seperti lebuh raya Pan Borneo, universiti, industri, prasarana di kampung-kampung seperti jalan raya, sekolah-sekolah, hospital, klinik dan sebagainya. Ini semua adalah usaha BN berada di negeri ini,” katanya kepada UMNO Online.

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor menegaskan bahawa perjuangan BN di Sabah tidak pernah terhenti begitu saja walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran politik.

“Kita sambung perjuangan yang terputus demi untuk kestabilan dan kemakmuran rakyat negeri Sabah. Perjuangan ini bukan sekadar untuk perkukuhkan kekuatan tetapi semangat setiakawan dan kepercayaan rakyat. Kita akan buktikan bahawa Sabah mampu bangkit lebih baik daripada sebelumnya.

“Oleh itu, kembalikan BN meneraju negeri ini demi kestabilan serta boleh menyambung insfrastruktur yang ditinggalkan. Pembangunan ini bukan hanya untuk negeri tetapi ianya adalah untuk rakyat,” tegasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, penamaan calon pada 15 Nov dan tarikh pengundian awal pada 25 November.

PRN ini menyaksikan 73 kerusi bakal dipertandingkan di 25 kawasan Parlimen negeri itu.

Tempoh berkempen selama 14 hari bermula pada 15 November 2025 hingga jam 11.59 malam, 28 November 2025, manakala sebanyak 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO