PRN Sabah: Jentera Wanita Tekad Pastikan Kemenangan BN Demi Masa Depan – Rosni Sohar

KOTA KINABALU, 21 Okt – Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar menegaskan jentera Wanita UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Menurutnya, persediaan jentera Wanita telah dilakukan sejak awal melibatkan pelbagai kajian lapangan dan analisis menyeluruh di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Jentera wanita UMNO dan BN sememangnya sudah lama siap siaga menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini. Kita telah melakukan pelbagai kajian, demografi dan segala-galanya seperti mengenali lokaliti, rumah-rumah pengundi, dan juga semua pengundi di negeri Sabah.

“Wanita UMNO dan BN akan akur apa pun arahan dari Perhubungan UMNO Negeri Sabah dan Nasional. Wanita akan terus bekerja serta fokus. Sememangnya itulah sifat yang ada pada Wanita iaitu kesetiaan dan perjuangan demi anak cucu.

“Wanita UMNO dan BN akan terus bertungkus lumus bagi memastikan kemenangan parti ini. Sebab itu mereka mahu anak cucu mengalami satu anjakan yang baik untuk negeri ini, seperti kurang-kurangnya insfrastuktur dan Wanita berusaha untuk menambah baik insfrastruktur tersebut,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Rosni yang juga Senator Dewan Negara menegaskan bahawa pengalaman luas BN dalam mentadbir negeri, disusuli rekod cemerlang membela kebajikan rakyat serta memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh Sabah, menjadi bukti nyata keupayaan dan komitmen sebenar parti itu terhadap kesejahteraan rakya

“Wanita UMNO yakin BN dapat membuat satu perubahan yang besar sekiranya diberi mandat mentadbir negeri Sabah ini, kerana hanya BN yang mempunyai pengalaman, membela kebajikan rakyat, kemakmuran serta memastikan pembangunan yang lebih seimbang di seluruh negeri.

“Insya Allah… dengan kerjasama yang baik diantara Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di seluruh cawangan negeri Sabah, maka kita akan sama-sama memastikan kemenangan BN,” katanya lagi.

Tambah beliau, Wanita UMNO dan BN akan terus memainkan peranan penting sebagai tulang belakang parti dalam memastikan perjuangan sampai ke setiap lapisan masyarakat di seluruh negeri ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17.

PRN ini menyaksikan 73 kerusi bakal dipertandingkan di 25 kawasan Parlimen negeri itu.

Tempoh berkempen selama 14 hari bermula pada 15 November 2025 hingga jam 11.59 malam, 28 November 2025, manakala sebanyak 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO