PRN Sabah: BN Tawar Masa Depan Yang Lebih Cerah – Bung Moktar
PUTATAN, 20 Okt – Ketua UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyeru kepada semua rakyat Sabah agar terus menyokong dan mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini.
Menurutnya, kemenangan BN pada PRN ini dapat mengubah dan mengukuhkan masa depan rakyat Sabah ke arah yang lebih baik berbanding pemerintah terdahulu.
“Saya menyeru kepada semua rakyat Sabah, sudah tiba masanya untuk kita sama-sama mengukuhkan masa depan yang lebih baik. Rakyat Sabah berhak hidup dalam keadaan yang lebih baik daripada hari ini dengan pemimpin-pemimpin BN yang berjiwa rakyat.
“UMNO dan BN telah membuktikan bahawa parti ini mampu melakukan perubahan. Kita mampu membawa anjakan yang lebih baik kepada rakyat Negeri Sabah. Jangan kira parti tempatan, tolak parti nasional, dekat-dekat pilihan raya timbul isu ini.
“Kita lihat pemimpin Warisan, GRS dan sebagainya berasal dari parti mana? Pokoknya semua serpihan-serpihan daripada UMNO dan BN. Mereka tahu bahawa Sabah ini membangun hasil pengorbanan BN. Selama mereka (GRS, PBS, USNO, Warisan) memerintah adakah Sabah ini lebih membangun dan maju,” katanya pada program Pemerkasaan Wanita MARA dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani, peringkat negeri Sabah.
Turut hadir, Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Alamin, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua- ketua UMNO Bahagian Sabah dan para peserta.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi BN Sabah berkata peluang UMNO/BN pada PRN ini cerah dengan calon-calon baharu yang diketengahkan oleh parti ini.
“Kali ini peluang UMNO dan BN seimbang antara parti-parti yang bertanding. Kalau cepat naik kita akan jatuh cepat, kita ‘slow and steady’. Kita kena undi sebab pilihan raya tidak lama lagi, kita perlu menangkan calon-calon yang diketengahkan oleh BN.
“Inilah misi kita, kena bantu Pengerusi BN dan selepas itu kita tawan seluruh negara, mengangkat calon-calon BN. Parti ini mempunyai keluarga yang sangat besar dan ia bukannya seperti parti-parti yang kecil,” katanya lagi.
Tambah ahli Parlimen Kinabatangan itu lagi, beliau berharap agar rakyat Sabah memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin baharu dari BN dan bertekad memperbaiki nasib rakyat.
“Kita cuba pemimpin baharu dari BN, Insya-Allah… kita bertekad untuk mengubah, perbaiki nasib masa depan rakyat Negeri Sabah. Saya yakin bahawa rakyat Negeri Sabah ingin membuat perubahan demi masa depan mereka,” tegasnya. – UMNO Online
