UMNO Sipitang Teguh Pertahan Maruah, Tekad Raih Kemenangan Di PRN Sabah

SIPITANG, 18 Okt – Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Abdul Rahman Noh, menegaskan bahawa UMNO Sipitang akan terus teguh mempertahankan maruah perjuangan serta kemenangan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

“Selagi darah perjuangan mengalir, maruah tidak akan dijual walau dunia datang menawarkan emas,” katanya dengan penuh semangat ketika mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Sipitang yang diadakan petang semalam.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh ahli jawatankuasa dan berlangsung dalam suasana penuh perpaduan, semangat juang serta tekad yang tidak berbelah bahagi untuk memperkukuh kekuatan parti di peringkat akar umbi.

Abdul Rahman berkata, UMNO Bahagian Sipitang sebulat suara menzahirkan tekad bahawa BN akan kembali bertanding dan mempertahankan kemenangan di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sindumin dan Lumadan pada PRN kali ini.

Beliau menegaskan bahawa kekuatan BN di Sipitang terletak pada akar umbi yang setia, jentera yang berdisiplin serta kepercayaan rakyat yang tidak pernah pudar.

“Perjuangan ini bukan sekadar mempertahankan kerusi, tetapi mempertahankan maruah, kepercayaan dan warisan politik yang telah kami bina sekian lama,” ujarnya.

Abdul Rahman turut menegaskan bahawa UMNO Sipitang tidak akan berundur walau selangkah dalam mempertahankan prinsip perjuangan.

“Kesetiaan kami bukan untuk diuji, dan maruah kami bukan untuk digadaikan. Kami tetap teguh demi parti, demi rakyat, dan demi Sipitang yang tercinta,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO