UMNO/BN Beaufort Terus Jadi Jambatan Rakyat, Usaha Realisasikan Projek Baik Pulih Rumah Nelayan

KUALA PENYU, 17 Okt – Peranan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan terus dizahirkan apabila Ketua UMNO Bahagian Beaufort merangkap Pengerusi BN Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, turun padang bersama masyarakat nelayan dalam Majlis Penyerahan Projek Baik Pulih Rumah Nelayan di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, yang turut menyerahkan bantuan baik pulih rumah serta kit nelayan kepada penerima terpilih di sekitar Kuala Penyu dan Menumbok.

Awang Aslee yang juga dan Penyelaras BN DUN N.33 Kuala Penyu berkata, pelaksanaan projek berimpak rakyat seperti PKPN membuktikan bahawa UMNO/BN sentiasa mendengar dan menunaikan keperluan masyarakat luar bandar, khususnya komuniti nelayan.

Katanya, UMNO/BN di peringkat akar umbi akan terus memainkan peranan penting sebagai penghubung antara rakyat dengan kerajaan bagi memastikan bantuan serta pembangunan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Inilah tanggungjawab kita sebagai parti yang berteraskan khidmat kepada rakyat. UMNO dan BN akan terus menjadi jambatan utama menyampaikan suara rakyat kepada kerajaan, serta memastikan setiap inisiatif kerajaan benar-benar memberi manfaat di peringkat bawahan,” ujarnya.

Beliau yang turut berkesempatan menyantuni beberapa nelayan di Kampung Sekalong, Menumbok berkata, kehadiran pemimpin di lapangan penting bagi memahami realiti dan cabaran sebenar yang dihadapi rakyat.

“Kita tidak boleh hanya mendengar dari jauh. Rakyat perlu didekati, pandangan mereka perlu didengar, dan keperluan mereka mesti ditunaikan. Itulah pendekatan yang UMNO dan BN terus bawa – politik khidmat dan tanggungjawab sosial,” jelasnya.

Menurut beliau, projek seperti PKPN bukan sahaja membantu meringankan beban hidup nelayan, malah menjadi bukti bahawa kerjasama erat antara kerajaan dan parti politik mampu memberi hasil yang nyata kepada rakyat.

Awang Aslee turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta LKIM atas pelaksanaan projek tersebut, sambil berharap agar lebih banyak inisiatif seumpamanya diteruskan di kawasan Kuala Penyu dan Beaufort bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO