PRN Sabah: Rakyat Menilai… Setia Kepada Perjuangan Atau Keselesaan Politik?

KENINGAU, 16 Okt – Rakyat Sabah kini memerhati dengan penuh tanda tanya terhadap langkah lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang dilaporkan meninggalkan kepimpinan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Persoalan besar timbul iaitu adakah tindakan tersebut mencerminkan perjuangan yang berpaksikan mandat rakyat, atau sekadar langkah mencari keselesaan politik baharu?

Ketua Penerangan Pemuda Barisan Nasional (BN) Keningau, Mohd Nor Ilyas Abd Hadi, berkata rakyat tidak lupa siapa yang suatu ketika dahulu berikrar setia bersama Jeffrey dalam membina STAR berteraskan maruah negeri Sabah.

“Apabila mereka kini berpindah haluan, rakyat berhak bertanya iaitu adakah perjuangan itu masih hidup atau sudah dikuburkan oleh kepentingan politik semasa?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, langkah lima ADUN berkenaan bukan sekadar pertukaran haluan, tetapi menunjukkan hilangnya arah perjuangan apabila ada pemimpin yang lebih pantas menukar baju daripada memperjuangkan nasib rakyat.

“Apabila politik menjadi wadah mencari keselesaan, bukan wadah memperjuangkan prinsip, maka demokrasi itu kehilangan nilai moralnya,” jelas beliau.

Mohd Nor Ilyas menegaskan, BN Sabah tidak berniat mencampuri urusan dalaman parti lain, namun sebagai pemerhati politik yang matang, isu lompat parti harus dilihat sebagai ‘barah moral’ dalam sistem demokrasi negeri ini.

“Jika pemimpin mudah meninggalkan parti sendiri, bagaimana rakyat boleh yakin mereka tidak akan meninggalkan rakyat apabila keadaan menjadi sukar?” ujarnya lagi.

Beliau menambah, BN Sabah kekal berpegang kepada prinsip kesetiaan dan perjuangan yang tidak mudah goyah walaupun diuji.

“Kesetiaan bagi kami bukan slogan, ia adalah jiwa perjuangan. BN tetap kukuh kerana kami tidak berpaling arah setiap kali angin bertiup dari arah berbeza,” katanya.

Katanya lagi, rakyat Sabah kini berdepan dilema moral dalam menilai sama ada mahu terus menyokong pemimpin yang meninggalkan asas perjuangan asal atau mempertahankan maruah parti yang mereka bina sejak awal.

“BN Sabah tidak menari mengikut rentak mereka yang menukar haluan setiap musim. Kami kekal berpaksikan maruah, bukan peluang,” tegasnya.

Beliau yakin rakyat akan membuat penilaian terbaik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 kelak.

“Rakyat akan menghukum mereka yang mempermainkan kepercayaan rakyat. Sekali kepercayaan itu hilang, tiada kuasa atau dana politik mampu membelinya semula,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO