PRN Sabah: 80 Peratus Calon Baharu, Bukti UMNO/BN Dengar Suara Rakyat – Samasuddin
KUALA LUMPUR, 15 Okt – Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop menyifatkan masa depan Sabah bakal menjadi lebih cerah dengan langkah Barisan Nasional (BN) yang bakal menampilkan calon-calon baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Menurutnya, pendekatan itu bukan sekadar memenuhi kehendak politik semasa, tetapi satu usaha menyeluruh untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kepimpinan UMNO dan BN di negeri ini.
Katanya, UMNO/BN kini melangkah ke PRN ke-17 bukannya dengan janji kosong, sebaliknya dengan semangat baharu yang mencerminkan keazaman untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Saya menyambut baik kenyataan Ketua UMNO Sabah merangkap Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa UMNO/BN kini siap siaga sepenuhnya dengan 80 peratus calon muka baharu. Ini bukan sekadar isyarat persediaan, tetapi tanda pembaharuan sebenar dalam tubuh perjuangan UMNO Sabah.
“UMNO sedang menampilkan wajah baharu yang berani, segar dan berpaksikan rakyat. Gabungan calon lama dan baharu ini menggambarkan keseimbangan antara pengalaman dan semangat generasi penerus. Ia sesuatu yang sangat penting dalam memastikan kesinambungan perjuangan untuk agama, bangsa, tanah air terus hidup dan relevan.
“Muka baharu bukan bermaksud menolak yang lama, tetapi meneguhkan nilai perjuangan asal yakni setia, berkhidmat dan berintegriti. Kita mahu melahirkan generasi pemimpin UMNO/BN yang bukan sekadar pandai bercakap di pentas, tetapi sanggup berpeluh di lapangan dan mendengar denyut nadi rakyat,” katanya kepada UMNO Online.
Tegasnya, inilah roh sebenar pembaharuan UMNO/BN yang bukannya kosmetik, tetapi kembali kepada fitrah perjuangan rakyat.
Mengulas lanjut, kata Samasuddin, perjuangan UMNO/BN kini bukan sekadar slogan politik tetapi usaha nyata untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui peluang pekerjaan, pembangunan, pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET).
“Pembaharuan dalam parti mesti diterjemah kepada tindakan yang dirasai rakyat seperti peluang pekerjaan, pembangunan, pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET), kebajikan masyarakat dan peningkatan ekonomi keluarga. Inilah yang menjadi kompas perjuangan kami selama ini terutamanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) N71 Tanjung Batu.
“Kami melihat gelombang perubahan ini sebagai peluang untuk menghidupkan semula semangat perjuangan akar umbi. UMNO/BN bukan sekadar parti yang bertanding pilihan raya tetapi gerakan rakyat yang lahir daripada denyut nadi rakyat terutamanya dari kampung-kampung, belia dan wanita,” ujarnya.
Ujarnya lagi, melalui kepimpinan yang berwibawa dan perancangan strategik ini, UMNO/BN Kalabakan akan terus menjadi peneraju utama dalam pembangunan masyarakat di kawasan tersebut. – UMNO Online
