Ahmad Zahid Rakam Takziah, Terkesan Tragedi Kemalangan Pelajar UPSI
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan rasa dukacita dan kesedihan atas insiden kemalangan tragis yang melibatkan para pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Jeli–Gerik, berhampiran Tasik Banding awal pagi tadi.
Kemalangan tersebut mengorbankan 15 nyawa muda dalam satu perjalanan menuntut ilmu, yang disifatkan oleh beliau sebagai satu dugaan amat besar dan menyayat hati.
“Sebagai seorang bapa, saya amat terkesan dengan kejadian ini,” ujar Ahmad Zahid dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya, hari ini.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan ketabahan serta kekuatan menghadapi saat sukar ini.
“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” tambahnya.
Ahmad Zahid turut mendoakan agar semua mangsa yang cedera dan sedang dirawat akan segera pulih dan kembali sembuh sepenuhnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan agensi-agensi berkaitan untuk menyediakan laporan penuh berhubung insiden tersebut bagi tindakan susulan yang sewajarnya.
Beliau menyeru agar semua pihak bersabar dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi melancarkan proses siasatan. – UMNO Online