Senario Positif Gelombang Biru Gerak17 UMNO Sabah – Musliati

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Momentum Gelombang Biru Gerak17 UMNO Sabah dilihat makin memberangsangkan dan penerimaan masyarakat setempat menunjukkan senario yang cukup menarik bagi parti berkenaan.

Apatah lagi menurut Exco Wanita UMNO Malaysia yang juga Ketua UMNO bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ‘mood’ seumpama itu amat penting untuk langkah seterusnya.

Bagi beliau Gelombang Biru Gerak17 yang turut dimeriahkan dengan kehadiran Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid serta pimpinan utama UMNO negeri yang lain ke Sepanggar dan Tenom beberapa hari lalu menyuntik semangat UMNO di negeri tersebut.

“Alhamdulillah… momentum Gelombang Biru Gerak17 dengan kehadiran semangat penyokong parti daripada Sepanggar  diteruskan serta terbawa-bawa sehingga ke Gerak17 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong.

“Terpegun juga sebab di sana selain orang dewasa ramai juga anak-anak muda yang hadir dengan penuh semangat. Inilah yang saya katakan tadi senario yang cukup positif,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi ucapan yang penuh bersemangat serta titipan kata-kata perangsang daripada pimpinan utama menyemarakkan lagi semangat UMNO/Barisan Nasional (BN) Sabah untuk melangkah berdepan PRN nanti.

“Kita teruskan khidmat serta memahami denyut nadi keperluan rakyat itu yang utama. BN bukan sekadar janji itu yang utama dan insya-Allah inilah yang akan menjadi penilaian utama masyarakat di Sabah,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79