Wanita UMNO Sepanggar Sokong Yakub Kekal Wakili BN Di DUN Karambunai
SEPANGGAR, 20 Mei – Wanita UMNO Bahagian Sepanggar menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah-bahagi kepada Ketua UMNO Bahagian Datuk Yakub Khan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Karambunai dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah akan datang.
Dalam satu kenyataan, Wanita UMNO Bahagian Sepangar berkata Yakub yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai dikenali sebagai seorang tokoh berjiwa rakyat, berwawasan dan berpengalaman luas dalam urus tadbir politik negeri.
“Beliau dikenali sebagai pemimpin yang komited, berintegriti, serta sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat. Kepimpinan beliau telah terbukti memperkukuh UMNO di Sepanggar serta menyatukan akar umbi dalam suasana harmoni dan semangat perjuangan yang tinggi.
“Sebagai Ketua Bahagian yang disenangi oleh pelbagai lapisan masyarakat, beliau menjadi simbol kestabilan dan kesinambungan perjuangan UMNO serta BN di kawasan ini.
“Beliau juga merupakan figura penting yang diyakini mampu mengangkat suara rakyat Karambunai ke peringkat negeri dan nasional secara berkesan,” kata kenyataan itu lagi.
Tambah Wanita UMNO Bahagian Sepanggar, semasa Gerak17 Sepanggar pada Sabtu lalu, pihaknya menerima sokongan dan keyakinan yang tinggi daripada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua UMNO Negeri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang secara terbuka menzahirkan kepercayaan penuh terhadap kemampuan Yakub memimpin DUN Karambunai demi kesejahteraan rakyat.
Menurut kenyataan itu lagi, isu politik, ekonomi, dan keselamatan sosial sentiasa diberi perhatian oleh Yakub agar pihak mereka sentiasa peka dan berusaha memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara dan dibela dengan sebaiknya.
“Kami, Wanita UMNO Sepanggar, sentiasa percaya dan yakin bahawa kebangkitan BN di Sepanggar akan terus menjamin kestabilan, pembangunan, dan pembelaan terhadap nasib rakyat di kawasan ini.
“Kami juga mengambil maklum akan isu perpecahan yang cuba dipupuk oleh pihak-pihak lain, namun kami yakin perpaduan kukuh dalam UMNO dan BN merupakan benteng terbaik menghadapi segala cabaran.
“Kerisauan pihak lain terhadap kekuatan kami jelas membuktikan BN kekal menjadi pilihan rakyat Sepanggar,” tegas kenyataan itu lagi.
Justeru, Wanita UMNO Bahagian Sepanggar beriltizam untuk berdiri teguh di belakang kepimpinan bahagian serta menggerakkan seluruh kekuatan jentera Wanita bagi memastikan kemenangan beliau dan parti pada PRN-17 nanti.
“Gerak kerja Wanita UMNO akan merangkumi pergerakan jentera akar umbi, penganjuran program bersama masyarakat, serta penyampaian mesej parti secara berkesan dan menyeluruh demi memastikan sokongan padu daripada pengundi khususnya golongan wanita dan keluarga.
“Dengan penuh rasa hormat dan keyakinan, kami menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap pencalonan Yakub sebagai calon DUN Karambunai,” ujar mereka lagi. – UMNO ONLINE