Persidangan UMNO Cawangan: Rais Tekankan Pentingnya Perpaduan Dalam Parti
KLEBANG, 20 Mei – Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin menegaskan bahawa perpaduan dalam parti perlu menjadi keutamaan utama ketika parti sedang bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN-16).
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata demikian ketika menghadiri dua persidangan UMNO cawangan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang pada Ahad.
Pada sebelah petang, Rais menghadiri Persidangan UMNO Cawangan Persiaran Balik Buluh yang turut melibatkan Wanita, Pemuda dan Puteri, manakala pada sebelah malam, beliau bersama-sama ahli-ahli UMNO Cawangan Pokok Mangga dalam persidangan cawangan tersebut.
Dalam ucapannya, beliau menyeru semua ahli untuk memperkukuhkan semangat kesatuan dalam parti dan memastikan jentera akar umbi berada dalam keadaan siap siaga menghadapi cabaran politik yang bakal mendatang.
“Perpaduan adalah asas kekuatan parti. Tanpa perpaduan, segala perancangan dan gerak kerja sukar dilaksanakan. Kita mesti bersatu hati demi masa depan UMNO dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
Beliau turut mengajak sayap Pemuda dan Puteri UMNO agar lebih proaktif dalam mendekati anak muda dengan menganjurkan pelbagai program yang bersifat inklusif serta mesra belia, sejajar dengan usaha membawa nafas baharu kepada perjuangan parti.
“Ini masa untuk bangkit, bersuara dan memberi makna kepada perubahan,” katanya.
Dalam kesempatan tersebut, Rais turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh kepimpinan cawangan dan sayap yang berjaya melaksanakan persidangan dengan penuh komitmen dan semangat perjuangan.
“Persidangan UMNO di peringkat cawangan adalah platform penting dalam menyatukan ahli-ahli parti serta menyusun strategi bagi memastikan UMNO terus relevan.
“Semoga segala usaha kita ini mendapat keberkatan dan ganjaran pahala dari Allah SWT,” tambah beliau lagi.
Persidangan UMNO peringkat Cawangan telah berlangsung bermula 7 April hingga 25 Mei ini dan bakal diikuti dengan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian yang dijadualkan antara 9 Jun hingga 27 Julai 2025.
Seterusnya, Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online