“Sabahan for Barisan”, Sokongan Rakyat Kembali Kukuh Bersama BN – Sharif Musa

KEMABONG, 19 Mei – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul, menyuarakan keyakinan bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) kini semakin mendapat tempat di hati rakyat Sabah susulan sambutan terhadap Program Gerak-17 UMNO yang disempurnakan oleh Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ujarnya, menerusi ucapannya Ahmad Zahid menegaskan bahawa kerjasama antara BN, Pakatan Harapan (PH), dan parti-parti yang sependapat adalah kunci kestabilan politik dan kemajuan negeri.

Sharif Musa berkata, rakyat Sabah kini menunjukkan usaha yang semakin jelas untuk mengembalikan BN sebagai pemerintah negeri kerana yakin hanya melalui parti ini, pembangunan yang selama ini tertangguh dapat direalisasikan.

“Rakyat Sabah sudah tidak tahan menunggu tempoh pembubaran DUN yang dijadual berakhir Oktober 2025. Mereka mahu perubahan segera agar masalah asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya dapat diselesaikan segera,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut melahirkan rasa syukur atas kejayaan program Gerak-17 yang menurutnya menjadi bukti bahawa UMNO kembali menjadi pilihan utama rakyat Sabah.
“Alhamdulillah! Gerak-17 membuktikan UMNO semakin menjadi pilihan nombor satu rakyat Sabah,” ujarnya.

Jelasnya, program Gerak-17 yang berlangsung di Kemabong menjadi pentas penting untuk membuktikan bahawa sokongan terhadap UMNO semakin meningkat, khususnya dalam kalangan rakyat Sabah yang dilihat semakin muak dengan ketidakstabilan pentadbiran negeri.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dijangka berlangsung dalam masa terdekat memandangkan tempoh bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal berakhir pada Oktober ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79