Ke Mana Hilangnya Klinik Percuma Dr Yadzil? – Dr Akmal
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan Ketua Bahagian PPBM Jasin selaku ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub mengenai status manifesto klinik percuma yang dijanjikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu.
Dr Akmal yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia turut mempersoalkan, adakah janji tersebut hanyalah sekadar manifesto untuk meraih kepercayaan rakyat namun gagal ditunaikan setelah diberi mandat.
“Saya nak Dr Yadzil jawab kepada saya dan juga semua pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban. Pada PRN lebih kurang tiga tahun lepas, Dr Yadzil ada janjikan klinik percuma. Apakah status ataupun ke manakah menghilang klinik percuma yang dijanjikan oleh Dr Yadzil ini?
“Adakah ia hanya sekadar manifesto untuk memperdaya rakyat? Menang terus senyap ataupun hilang dimamah usia? Jadi, Dr Yadzil tolong jawab… kesian orang DUN Bemban.
“Mereka nak tunggu, tuntut janji-janji Dr Yadzil ini. Sekurang-kurangnya mereka dapat klinik percuma pun dah gembira. Jadi, tolong jawab apakah status manifesto Dr Yadzil sekurang-kurangnya klinik percuma yang telah dijanjikan,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebooknya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin memaklumkan bahawa bajet untuk Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Melaka telah diluluskan dengan nilai RM696 juta.
“Dr Yadzil dalam dua atau tiga hari lalu dalam akhbar Harakah ada bertanyakan ke mana hilangnya Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Negeri Melaka yang telah diluluskan sebelum ini.
“Sebenarnya soalan ini telah dijawab dalam sidang DUN sebelum ini. Sebenarnya Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Melaka ini telah diluluskan dengan nilai RM696 juta. Tetapi, apabila kita buat pembengkelan, kita rasakan RM696 juta itu tidak mencukupi.
“Ini kerana ada beberapa penambahbaikan yang kita nak laksanakan contohnya untuk kemaskini sistem dan sebagainya. Penambahbaikan ini memerlukan kos tambahan sebanyak RM27 juta,” katanya lagi.
Jelasnya, permohonan untuk peruntukan tambahan tersebut telah diluluskan pada Mei 2025 manakala pembinaan hospital tersebut akan bermula pada tahun 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2031.
“Apabila ada penambahan bajet sebanyak RM27 juta, maka kita hantar Notice of Change (NOC) kepada Kementerian Ekonomi pada Disember 2024. Alhamdulilah, pada Mei 2025 kita dah dapat jawapan dan permohonan bajet tambahan itu telah diluluskan.
“Insya-Allah semua dah lulus dengan nilai RM723 juta. Pembinaan akan bermula pada tahun hadapan dan dijangka siap sepenuhnya serta beroperasi pada tahun 2031,” katanya lagi.
Terdahulu media melaporkan Dr Yadzil menggesa kerajaan mempercepatkan pembinaan hospital baharu di Melaka untuk mengatasi masalah kesesakan dan kekurangan kemudahan kesihatan yang semakin meruncing.
Ketua Pembangkang DUN Melaka itu berkata, isu itu semakin mendesak susulan insiden kecuaian melibatkan seorang kanak-kanak yang menjadi manifestasi kepada kelemahan sistem perkhidmatan kesihatan awam ketika ini. – UMNO Online