Ulang Tahun ke-79: UMNO Akan Terus Relevan, Berpegang Kepada Prinsip – Mu’izz

KUALA LUMPUR, 19 Mei – UMNO akan terus relevan selagi berpegang kepada prinsip untuk terus memperjuangkan agama, bangsa dan negara, kata Ketua Penerangan UMNO Bahagian Segambut, Mu’izz Nasruddin.

Ujarnya, 79 tahun merupakan lambang kekuatan dan keteguhan perjuangan UMNO yang telah melalui pelbagai cabaran demi mempertahan agama, bangsa dan tanah air.

“Selamat menyambut ulang tahun UMNO yang ke-79! 79 tahun bukan sekadar angka, tetapi satu lambang kekuatan dan keteguhan perjuangan kita. Selama hampir lapan dekad ini, UMNO telah melalui pelbagai cabaran. Namun semangat dan prinsip kita tidak pernah luntur. Kita terus berdiri teguh, bersama-sama mempertahankan agama, bangsa, dan tanah air.

“Kepada semua ahli dan penyokong UMNO, saya ingin mengucapkan terima kasih. Kalian adalah nadi kekuatan parti ini. Tanpa kalian, UMNO tidak akan mampu bertahan begitu lama. Dalam menghadapi setiap ujian, kita perlu teruskan perjuangan dengan semangat yang tidak pernah pudar. Jangan takut dengan cabaran yang datang, kita harus lebih kuat dan lebih bersatu,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, UMNO adalah warisan perjuangan bangsa dan beliau percaya dengan memperkukuhkan perpaduan akan membolehkan parti lebih kukuh mendepani cabaran mendatang.

“UMNO bukan sekadar sebuah parti. Ia adalah warisan perjuangan bangsa yang telah teruji sepanjang sejarah. Setiap ahli, dari akar umbi hingga ke pemimpin, memainkan peranan penting. Marilah kita teruskan semangat ini, saling berganding bahu untuk memastikan UMNO kekal relevan dan terus menjadi suara bagi rakyat Malaysia.

“Saya percaya, dengan terus memperkukuh perpaduan dan berpegang pada prinsip perjuangan yang jelas, kita akan mampu menghadapi segala cabaran yang mendatang. Kita harus bijak dalam bertindak, berani membuat keputusan, dan sentiasa mengutamakan rakyat dalam setiap tindakan kita.

“Akhir kata, marilah kita bersama-sama mengorak langkah ke depan. UMNO akan terus relevan selagi mana kita berpegang pada prinsip yang benar dan terus memperjuangkan agama, bangsa, dan negara. Mari kita teruskan perjuangan ini dengan penuh semangat dan keyakinan. UMNO terus maju, UMNO terus berjaya,” katanya lagi.

Untuk rekod, UMNO telah menyambut ulang tahunnya yang ke-79 pada 11 Mei 2025 setelah ditubuhkan pada tahun 1946.

Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-79 kali ini lebih bermakna dengan Majlis Graduasi Sekolah Patriotik UMNO melibatkan 48 orang pelajar. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79