UMNO Perlu Kekal Dominan Dalam Landskap Politik Negara
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mazalan Maarop menyifatkan ulang tahun UMNO sebagai waktu terbaik untuk ahli parti, menghayati sejarah panjang perjuangan UMNO yang bermula sejak era menuntut kemerdekaan sehingga kini, dalam membentuk Malaysia moden dan maju.
Katanya, UMNO telah memainkan peranan besar dalam pembangunan negara di samping memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu serta agama Islam sejak tahun 1946.
“UMNO memang matlamatnya membela hak kepentingan orang Melayu, tetapi perkara ini perlu diperjelaskan ditunjukkan melalui tindakan afirmatif itu penting bagi menguatkan lagi kepercayaan ahli parti dan juga rakyat kepada UMNO.
“Harapan adalah hendak melihat UMNO kembali kekal dominan dalam landskap politik di Malaysia,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Mengulas berkenaan Sekolah Patriotik UMNO (SPU) kumpulan pertama yang berjaya dilaksanakan baru-baru ini, beliau berkata ia sebagai momen yang cukup signifikan kepada parti dalam melahirkan generasi muda yang berwibawa.
Beliau malah menyifatkan SPU sebagai medium terbaik dalam membentuk pemimpin muda yang berprinsip, setia pada parti, berpengetahuan luas dan mampu berkhidmat kepada masyarakat dan negara.
“SPU ini amat penting, dahulu kita ada biro tatanegara yang sudah dioleh oleh pihak yang memerintah yang tidak menepati kepada perjuangan UMNO itu sendiri.
“Jadi perkara ini perlu digalas peranannya oleh SPU untuk memberikan ilmu, semangat kepada anak-anak muda dalam UMNO,” ujar beliau.
Terdahulu sambutan ulang tahun UMNO ke-79 pada Sabtu lalu mencatat sejarahnya tersendiri apabila 48 pelajar SPU menamatkan sesi pembelajaran masing-masing dan diraikan dalam majlis konvokesyen yang kali pertama diadakan. – UMNO Online