UMNO Mampu Bangkit, Harus Kembali Jadi Tulang Belakang Kerajaan – Othman Desa
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Othman Desa berkata parti ini mampu bangkit semula sebagai sebuah parti dominan.
Menurut beliau, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri mahu melihat parti ini kembali menjadi tulang belakang kerajaan dengan membawa mesej baharu yang lebih segar.
“UMNO boleh bangkit semula sekiranya membawa satu mesej dan perubahan kepada parti. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahukan parti ini bangkit semula menjadi dominan dan menjadi tulang belakang pada kerajaan.
“UMNO mesti selesaikan masalah dalaman parti dan jangan menampakkan pada rakyat satu persepsi yang buruk dan segala isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak lain dan perlu jelaskan pada rakyat pelbagai isu tuduhan yang dilemparkan oleh parti lawan dengan sejelas-jelasnya termasuk juga kepada golongan muda.
“Parti ini sudah melaksanakan syariat Islam dari dahulu hingga sekarang dan perjuangan UMNO tidak pernah lari dari landasan yang sebenarnya. UMNO tetap memperjuangkan ABATA (agama, bangsa dan tanah air),” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Othman yang juga Pengerusi Veteran UMNO menyeru golongan muda agar lebih memahami perjuangan sebenar UMNO dan tidak terpengaruh dengan naratif negatif terhadap parti.
“Golongan muda perlu faham tentang perjuangan UMNO yang sekarang ini kebergantungan pada parti ini seolah-olah semakin luntur. Kita tidak perlu maki hamun, buat tuduhan sebaliknya bela peranan parti ini yang sentiasa membantu rakyat.
“Saya yakin rakyat sedar, tahu perkara ini dan menolak naratif yang tidak baik, tidak betul, kata mengata dan kempen yang tidak berakhlak. Politik sederhana perlu dimainkan oleh semua peringkat ahli UMNO.”
Pada masa yang sama Othman menasihati akar umbi parti terutamanya di cawangan harus memperkukuhkan dan semangat perjuangan parti.
“Kita perlu perkukuhkan cawangan-cawangan UMNO dan naikkan semangat, ramai ahli yang patah semangat dan perlu bangkit semula dan rakyat Malaysia mengharapkan agar parti ini kembali bangkit semula.
“UMNO sudah mula disayangi jadi ahli parti kena perkemaskan cawangan-cawangan semua, bahagian dan negeri sebab parti ini ada sistem parti yang terbaik. Maka dari cawangan harus timbulkan semangat parti ini sebagai sebuah perjuangan,” ujarnya. – UMNO Online