UMNO Pelopor Dasar Islam, Terus Memacu Kemajuan Negara – Dr Masliha Harun

KUALA LUMPUR, 20 Mei – UMNO terus mengukir sejarah sebagai pelopor dasar Islam dan pemacu kemajuan negara sejak merdeka dan sebagai tunjang Barisan Nasional (BN), UMNO memperkukuh pentadbiran serta institusi Islam di Malaysia sejak 1957.

Exco Wanita UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun berkata, antara inisiatif utama UMNO termasuk penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), mahkamah syariah dan sebagainya bagi menggubal dasar Islam di peringkat persekutuan.

“Dalam ekonomi Islam, UMNO telah memajukan ekonomi seperti JAKIM, Bank Islam, malah pendidikan juga UMNO telah melahir ramai siswazah dari UIAM yang berteraskan Islam.

“UMNO juga memajukan perbankan Islam hingga diiktiraf global, memperkukuh Tabung Haji, serta memantapkan zakat dan wakaf melalui Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dan Majlis Agama Islam Negeri.

“Parti ini turut membangunkan pendidikan Islam melalui Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, kurikulum fardhu ain, pondok moden, serta pembinaan masjid dan surau di sekolah dan universiti,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, kata Dr Masliha, di era bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi telah membawa gagasan Islam Hadhari dengan sepuluh prinsip Islam progresif.

“Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menekankan sepuluh prinsip seperti pemerintahan berasaskan prinsip Islam, keadilan, pembangunan ekonomi, dan ilmu. Semua ni bertujuan menjadikan Malaysia negara Islam contoh yang progresif dan moden.

“UMNO juga turut membawa imej Malaysia sebagai negara Islam sederhana di pentas antarabangsa. Malaysia menjadi anggota aktif OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan menganjurkan pelbagai sidang antarabangsa berkaitan Islam,” katanya lagi.

Tambah beliau, sepanjang UMNO memerintah terdapat kritikan terhadap pendekatan pragmatik, tetapi parti ini tetap teguh memartabatkan agama, bangsa dan tanah air, menjadi rujukan utama Melayu dan bumiputera.

“Walaupun terdapat kritikan bahawa UMNO mengamalkan pendekatan Islam yang selektif atau pragmatik, tidak dapat dinafikan bahawa banyak juga perubahan yang positif dari segi struktur pentadbiran dan institusi Islam di Malaysia lahir dan berkembang di bawah pemerintahannya.

“UMNO tidak pernah tersasar dari segi perjuangannya untuk memartabatkan agama, bangsa dan tanah air dan menjadi tonggak rujukan buat Melayu dan Bumiputera di Malaysia,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79