Inisiatif Besar Belanjawan Johor 2025 Untuk Pembangunan Perumahan Dan Kesejahteraan Rakyat – Mohd Jafni

JOHOR BAHRU, 21 Nov – Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata Belanjawan Johor 2025 yang dibentangkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bukanlah sekadar belanjawan, tetapi perancangan dan pelaksanaan inisiatif yang bertujuan mencipta masa depan yang lebih baik.

Katanya, belanjawan ini menyentuh pelbagai aspek penting seperti pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan, perumahan mampu milik, infrastruktur, dan usaha memperkukuh keagamaan serta masa depan belia yang berdaya saing.

“Setiap inisiatif yang dirancang adalah untuk memastikan tiada Bangsa Johor yang ketinggalan. Mari bersama-sama kita teruskan langkah untuk menjadikan Johor sebuah negeri yang maju menjelang tahun 2030, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ketua UMNO Bahagian Kulai berkata sejumlah inisiatif besar telah diumumkan untuk memperbaiki sektor perumahan di negeri Johor, termasuk di daerah Kulai.

“Sebanyak 8,021 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) akan siap dibina pada tahun 2025 di semua daerah melalui kerjasama Kerajaan Negeri dan pemaju swasta.dijangka siap dibina pada tahun 2025.

“Sebanyak RM 225 juta diperuntukkan bagi pembangunan Rumah Residensi Bangsa Johor (RBJ) meliputi 432 unit di Jalan Ibrahim, Pontian dan 257 unit di Sri Menanti, Muar dengan kerjasama PIJH.

“Sejumlah RM 6.65 juta diperuntukkan bagi RUMAH TRANSIT BANGSA JOHOR (RTBJ) melibatkan 60 unit di Taman Penawar, Kota Tinggi dan 71 unit di Taman Nusa Sentral, Johor Bahru.”

Ujarnya, sebanyak RM36.15 juta diperuntukkan bagi Pembangunan Rumah Kasih JOHOR (RKJ) dengan penyediaan 328 unit rumah baru oleh PKPJ, MAIJ, Waqaf An-Nur dan KKDW selain sejumlah RM 2.24 juta diperuntukkan bagi Program Rumah Prihatin Johor (RPJ).

“Sebanyak 112 unit RPJ akan dibina dengan kos antara RM 75 hingga 95 ribu seunit. Bagi menyempurnakan inisiatif ini, PKPJ akan menampung kos tambahan penyediaan infrastruktur sehingga RM 20 ribu seunit. Dalam masa yang sama, SPNB akan memberikan subsidi RM 20 ribu seunit. Ini menjadikan harga jualan RPJ hanyalah RM 55 ribu seunit.

“Sebanyak RM 14.15 juta pula diperuntukkan bagi Program Baik Pulih Rumah yang akan memanfaatkan 795 keluarga miskin dan miskin tegar. Semoga Allah mempermudah segala urusan demi rakyat Johor,” katanya lagi dalam hantaran berlainan.

Dilaporkan, hari ini Onn Hafiz membentangkan Belanjawan Johor 2025 yang merupakan belanjawan lebihan sebanyak RM5.12 juta pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bertemakan “Maju Johor, Rakyat Sejahtera’. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.