Dua Tahun Kerajaan Perpaduan: Sokongan UMNO Demi Kestabilan Politik, Kemakmuran Negara
KUALA LUMPUR, 22 Nov – Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Nurul Ashikin Mohamad Rafi menyifatkan UMNO memainkan peranan penting dalam memberi kestabilan kepada Kerajaan Perpaduan yang sudah menjangkau ke dua tahun pentadbirannya.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Wangsa Maju berkata ia sudah tentunya membawa manifestasinya tersendiri dalam meraih sokongan orang Melayu kepada parti melalui agenda rakyat yang dilakukan oleh menteri-menteri UMNO/Barisan Nasional (BN).
“Sepanjang dua tahun kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, parti ini telah menunjukkan komitmen yang konsisten untuk memperkukuh sokongan dengan rakan-rakan komponen demi kestabilan politik dan kemakmuran negara. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa perpaduan adalah kunci kekuatan parti dalam menghadapi cabaran semasa.
“Harapan sudah tentunya UMNO ke hadapan adalah untuk terus memainkan peranan penting dalam Kerajaan Perpaduan dengan fokus kepada kestabilan politik dan pembangunan negara.
“Parti ini juga berhasrat untuk meningkatkan sokongan daripada masyarakat Melayu melalui pendekatan baharu dan komunikasi yang lebih efektif. Selain itu, UMNO bertekad untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal seperti yang dinyatakan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Menurut Nurul Ashikin, penyertaan UMNO dalam kerajaan juga jelas menunjukkan keterbukaan parti untuk menjalinkan kerjasama dengan rakan parti baharu demi kepentingan rakyat khususnya orang Melayu.
Katanya lagi meskipun mendepani landskap politik baharu namun perjuangan UMNO masih kekal dalam membawa aspirasi perjuangan parti yang menjadi tunjang kepada parti keramat ini.
“Secara keseluruhan saya lihat UMNO berusaha untuk menyesuaikan diri dalam landskap politik baharu dengan mengekalkan prinsip perjuangan parti sambil bekerjasama dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan demi kepentingan negara dan rakyat.
“Dalam usaha memperkukuh kedudukan, UMNO menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama dengan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
“Malah ia diperkukuh dengan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa kerjasama ini adalah manifestasi keseriusan dan komitmen UMNO untuk memastikan kestabilan politik, kesejahteraan rakyat, dan kemakmuran negara,” ujar beliau. – UMNO Online