‘Dengan Fitnah, Kebencian Sahaja PN Boleh Menang Pilihan Raya’ – Azhar
KUALA LUMPUR, 23 Nov – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berpandangan Perikatan Nasional (PN) hanya akan memenangi pilihan raya dengan cara menabur fitnah dan kebencian dalam kalangan rakyat kepada kerajaan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Rakyat berkata, ini kerana PN bijak memainkan sentimen dalam menarik sokongan rakyat, dengan sengaja mengenepikan fakta membabitkan kepentingan rakyat dan negara.
“Di Malaysia Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2022 tetapi sampai hari ini kita berantakan tak habis-habis cerita politik. Di Parlimen (pembangkang) bukan berbahas tentang idea sebaliknya tentang peribadi sepatutnya berbahas tentang macam mana nak merekayasa negara ini menjadi negara yang hebat.
“Tuduh itu dan ini bila kita lawan tak ada fakta pula. Jadi semua itu adalah menabur kaca di jalan… rakyat yang buta, tak melihat kaca itu dia akan terpijak maka berdarahlah kaki itu. Maka akan timbul kemarahan. Kenapa kerajaan menabur kaca? Sedangkan mereka tidak tengok betul-betul jalan itu sama ada bersih ataupun ada bahaya yang terlarang.
“Inilah ibaratnya pembangkang menabur kebencian. Dengan kebencian sajalah mereka boleh menang pilihan raya kalau dengan fakta mereka akan kalah tapi kalau (pembangkang) mengakui segala kebaikan, kehebatan yang Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) buat ini maka mereka akan tutup kedai jadi apa nak bagi mereka sambung kedai mereka? Tabur fitnah sajalah,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Mengulas lanjut Azhar berkata rakyat sebagai warganegara yang rasional perlu lebih matang dan bijak dalam pemikiran politik, sekali gus tidak mudah terpedaya dengan propaganda murahan pembangkang termasuk menerusi platform media sosial
Katanya lagi, perkara tersebut amat membimbangkan kerana dakyah yang dibawa mereka akan membawa risiko besar termasuk perpecahan dan meruntuhkan kerajaan yang kompeten sekaligus merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.
“Apabila berita sampai, siasat dulu dan tanya… jangan terus mempercayai. Tidak ada masalah untuk menyokong parti mana pun kerana dalam amalan demokrasi kita berhak untuk memilih sesiapa sahaja.
“Tetapi kalau soal tohmahan dan fitnah kita harus waspada kerana ia meruntuhkan kesatuan bangsa, nilai-nilai kasih dan sayang sesama insan.
“Tohmahan yang kadang-kadang langsung tidak berperikemanusiaan kerana fitnah ini lebih dahsyat daripada membunuh. Melalui fitnah ini boleh runtuh negara bangsa yang kita bina selama hari ini,” ujar beliau. – UMNO Online