Pemimpin Akar Umbi Perlu Kenal Pasti Golongan Yang Memerlukan Bantuan – Siti Aminah

BEAUFORT, 1 Nov – Pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi, terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) dan ketua-ketua cawangan UMNO, diminta agar proaktif mengenal pasti penduduk setempat yang memerlukan bantuan segera.

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching, berkata walaupun kerajaan telah dan akan menyalurkan pelbagai bantuan seperti Bantuan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dan bantuan awal persekolahan, tidak semua rakyat, khususnya golongan B40, dapat menikmatinya disebabkan tercicir dalam pendaftaran sistem e-Kasih.

Menurut beliau, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, tidak semua rakyat dapat memanfaatkan kemudahan pendaftaran secara dalam talian akibat ketiadaan akses internet, terutama bagi golongan warga emas yang tiada kemahiran menggunakan teknologi, tidak mendapat maklumat tentang bantuan yang disediakan kerajaan negeri atau persekutuan malah menyebabkan mereka tercicir daripada menerima bantuan.

“Justeru, tugas pemimpin akar umbi adalah untuk turun padang dan mengenal pasti rakyat di kawasan diwakili yang belum menerima bantuan, serta memberi penjelasan tentang bantuan daripada kerajaan yang boleh mereka pohon. Yang penting, bantu mereka yang belum berdaftar dalam sistem e-Kasih untuk didaftarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Jelajah Prihatin 2024 Pusat Khidmat Parlimen Beaufort di Dewan Janang Gayuh, Kampung Kukut, baru-baru ini.

Hadir sama adalah Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat; Timbalan Ketua Bahagian, Ustaz Jaluddin Kadir; Naib Ketua Bahagian, Abdul Rashid Matahon; Setiausaha UMNO Bahagian, Abdul Rahman Taib; dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Beaufort, Juriffah Saflie.

Siti Aminah yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah RISDA Semaian dan Landskap Sdn Bhd, menyatakan bahawa walaupun ada pihak di negeri ini mengumumkan kadar kemiskinan telah dinoktahkan, namun berdasarkan lawatan turun padang yang dilakukan oleh pusat khidmat Parlimen, termasuk UMNO Bahagian, realitinya masih banyak rakyat yang memerlukan bantuan.

Sehubungan itu, katanya, Program Jelajah Prihatin Pusat Khidmat Parlimen Beaufort, dengan kerjasama UMNO Bahagian, ditubuhkan untuk memastikan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan segera dapat dibantu.

“Matlamat program ini adalah untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan. Melalui program Jelajah Prihatin dan aktiviti turun padang yang kami lakukan, masih ramai golongan yang memerlukan bantuan,” katanya.

Di majlis tersebut, seramai 360 orang yang layak menerima bantuan dari kawasan Pusat Daerah Mengundi Limbawang telah menerima sumbangan masing-masing berupa bahan makanan dan kewangan.

Terdahulu, program yang sama juga diadakan di Pusat Daerah Mengundi Kebulu. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.