Satu Undi Demi Masa Depan Dan Kestabilan Johor – Fauziah Misri
PENAWAR, 11 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar, Fauziah Misri menyeru seluruh pengundi di negeri ini agar keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian demi memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan Johor.
Fauziah yang juga penyandang DUN Penawar, telah selesai membuang undi di kampung halamannya dan berharap rakyat Johor daoat menunaikan tanggungjawab. 
“Alhamdulillah… saya telah selesai membuang undi hari ini di kampung kelahiran saya. Saya mendoakan semoga BN memperoleh kemenangan, bukan sahaja di DUN Penawar, malah di seluruh negeri Johor.
“Kepada mereka yang masih belum keluar mengundi agar segera ke pusat pengundian dan tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Satu undi amat bermakna dan penting dalam menentukan kemenangan besar serta kestabilan politik Johor bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada UMNO Online.
Fauziah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Pengerang, mengajak pengundi, khususnya di DUN Penawar, agar keluar mengundi lebih awal dan tidak menunggu sehingga saat akhir.
“Saya menyeru semua pengundi, khususnya di DUN Penawar, agar keluar mengundi secepat mungkin, kalau boleh sebelum tengah hari.
“Keluarlah beramai-ramai dan tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Buatlah pilihan yang tepat agar tidak menyesal di kemudian hari,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa apa juga keputusan yang bakal diumumkan nanti perlu diterima dengan hati yang terbuka dan semangat demokrasi.
“Apa pun jua keputusannya selepas ini, kita perlu menerimanya dengan hati yang terbuka. Namun, kita sama-sama berdoa agar BN terus diberi mandat mentadbir kerajaan negeri Johor supaya lebih banyak pembangunan dan kemajuan dapat dibawa kepada rakyat,” ujarnya. – UMNO Online</p>
