Bangga Semangat Pengundi Johor, Azalina Puji Kehadiran Awal

PENAWAR, 11 Julai – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dengan membuang undi di Sekolah Kebangsaan Penawar, Pengerang, pagi ini.

Ketibaan Ahli Parlimen Pengerang itu pada jam 8.15 pagi, disambut mesra oleh petugas pilihan raya dan para pengundi yang turut hadir untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian.

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia menjelaskan, perbezaan kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan bukanlah satu isu yang perlu dibimbangkan rakyat kerana beberapa negeri lain juga berada dalam situasi yang sama tanpa sebarang masalah.

“Apa pun, kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang berbeza bukan satu masalah. Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis juga mempunyai kerajaan yang berbeza, tetapi tidak timbul sebarang isu,” katanya kepada UMNO Online, disini.

Azalina yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang turut memuji kesedaran tinggi yang ditunjukkan oleh rakyat Johor dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi apabila ramai hadir seawal pagi untuk menunaikan hak mereka.

“Sebagai orang Johor, saya bangga kerana daripada golongan muda hinggalah warga emas, semuanya memahami proses pilihan raya. Ramai pengundi datang awal, keluar pagi, menandakan mereka mempunyai kesedaran dan niat untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua pengundi yang keluar mengundi hari ini,” jelasnya.

Beliau berkata, kemenangan BN di kedua-dua kerusi berkenaan akan memberikan suntikan semangat kepada seluruh jentera parti, khususnya di Parlimen Pengerang, untuk terus memperkukuhkan perkhidmatan kepada rakyat.

“Yang lebih penting, kemenangan ini akan memberikan semangat lebih kepada pasukan Barisan Nasional dan Parlimen Pengerang untuk meneruskan perkhidmatan kepada rakyat dan pengundi di sini,” ujarnya.

Dalam masa sama, Azalina menyeru semua pengundi yang masih belum mengundi supaya segera keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Saya minta semua keluar seawal mungkin. Takut petang nanti hujan. Tetapi harapan saya, kita semua keluar melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dan semoga yang terbaik buat negeri Johor,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO