Tunaikan Tanggungjawab Mengundi Demi Masa Depan Johor – Noraini
PARIT SULONG, 11 Julai – Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyeru seluruh rakyat Johor agar menunaikan tanggungjawab mengundi dengan penuh rasa amanah demi menentukan hala tuju masa depan negeri yang tercinta.
Beliau berkata, setiap undi yang diberikan bukan sekadar pilihan di atas kertas, sebaliknya merupakan suara rakyat yang akan menentukan corak kepimpinan serta kesinambungan pembangunan Johor pada masa hadapan.

“Setiap undi yang diberikan adalah amanah dan suara untuk menentukan hala tuju masa depan negeri Johor yang tercinta ini.
“Sebagai bangsa Johor, inilah antara tanggungjawab paling penting yang perlu kita laksanakan pada hari ini,” kata Ketua Wanita UMNO Malaysia itu lagi.
Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong dan pengundi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Onn, Batu Pahat pagi tadi, bersama-sama ahli keluarganya.
Seterusnya, Noraini turut berharap proses pengundian berlangsung dengan lancar serta dipermudahkan buat semua pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab demokrasi masing-masing.
Beliau pada masa sama mengajak seluruh rakyat Johor supaya bersama-sama menjayakan proses demokrasi dengan keluar mengundi demi memastikan Johor terus melangkah sebagai sebuah negeri yang maju, stabil dan sejahtera.
“Ayuh sama-sama tunaikan tanggungjawab demi Johor yang lebih maju dan sejahtera,” ujar beliau.
Berdasarkan tinjauan, walaupun di sini dan Muar hujan sejak awal pagi, ia tidak mematahkan semangat pengundi untuk keluar mengundi di pusat mengundi masing-masing. – UMNO ONLINE
