Pengundi Muda Tampil Tunaikan Tanggungjawab Demi Masa Depan Johor
PENGERANG, 11 Julai – Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berjalan lancar di 1,076 pusat mengundi di seluruh negeri sejak dibuka serentak bermula 8 pagi tadi, bagi membolehkan rakyat negeri itu memilih kerajaan baharu untuk penggal akan datang.
Tinjauan UMNO Online mendapati rata-rata pengundi yang ditemui kelihatan mula hadir sejak awal pagi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Bagi pengundi muda, Nurin Azharina Balkis Zainal, 19 tahun, yang mengundi di Sekolah Kebangsaan LTP Kledang, meluahkan rasa teruja apabila berpeluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama pada PRN Johor.
“Saya rasa sangat teruja kerana ini adalah kali pertama saya mengundi. Bagi saya, satu undi itu adalah satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
“Saya berharap keputusan yang saya buat hari ini akan memberi manfaat dan kebaikan untuk masa hadapan, bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga kepada negara,” katanya kepada UMNO Online.
Sementara itu, Azhar Zakwan, 24 tahun, mengakui pengalaman mengundi buat kali kedua memberikan keyakinan yang lebih tinggi berbanding kali pertama apabila kini lebih memahami kepentingan memilih pemimpin dan parti yang diyakini mampu membawa perubahan kepada rakyat.
“Saya sudah mengundi sebanyak dua kali dan kali ini perasaannya masih sama, iaitu teruja untuk mengundi kerana saya sebagai anak muda tahu siapa yang patut saya pilih dan parti mana yang perlu saya sokong.
“Berbeza dengan pengalaman pertama dahulu, kali ini saya sudah tidak lagi berasa ragu-ragu dalam membuat pilihan,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru golongan muda dan yang masih belum menunaikan tanggungjawab agar segera keluar mengundi dan tidak mensia-siakan peluang yang diberikan.
“Kepada mereka yang masih belum keluar mengundi, keluarlah mengundi. Kalau bukan sekarang, bila lagi? Gunakan hak anda untuk menentukan masa depan kita bersama,” ujarnya.
Proses pengundian yang melibatkan 2.7 juta pemilih berdaftar itu dijadualkan berlangsung hingga 6 petang ini, selepas berakhirnya tempoh berkempen selama 14 hari pada tengah malam tadi.
PRN kali ini menyaksikan keseluruhan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan pertembungan empat penjuru di 12 kerusi, tiga penjuru (27) dan saingan satu lawan satu di 14 kerusi.
Sementara itu, cuaca dilaporkan baik di kebanyakan tempat kecuali di Muar yang mengalami hujan pagi ini. – UMNO Online</p>
