Ahmad Zahid Hadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana

PUTRAJAYA, 23 Okt – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-12 di Brunei bermula hari ini hingga 25 Okt.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan pada AMMDM ke-12, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, diiringi Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus.

“Mesyuarat itu berfungsi sebagai forum untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu strategik dan terkini.

“Ia juga membincangkan kemajuan semasa dan status perkembangan program dan aktiviti di bawah Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER) 2021-2025,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan membabitkan wakil dari negara-negara angota ASEAN yang terlibat secara langsung dalam pengurusan risiko bencana di negara masing-masing.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pengurusan bencana, Ahmad Zahid akan menghadiri beberapa mesyuarat lain dengan rakan dialog seperti AMMDM bersama China kali keempat, AMMDM bersama Jepun kali keempat dan juga AMMDM bersama Korea Selatan kali ketiga.

Beliau juga dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara mengenai inisiatif, pelaksanaan dan kejayaan serta cabaran dalam pengurusan dan risiko bencana menerusi pendekatan yang diambil oleh Malaysia, pada Khamis.

“Pada sebelah malam, Timbalan Perdana Menteri akan meluangkan masa bertemu rakyat Malaysia yang berada di Brunei dalam satu majlis makan malam,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri bersama wakil negara ASEAN akan menghadiri Majlis Sambutan Memperingati 20 Tahun Tsunami Lautan Hindi dan Hari Pengurusan Bencana ASEAN 2024 di Taman Mahkota Jubli Emas di Bandar Seri Begawan pada Jumaat.

“Penyertaan dan kehadiran Timbalan Perdana Menteri dalam AMMDM ke-12 ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan diplomatik dengan negara-negara ASEAN.

“Ia sekali gus memperkuat daya tahan rantau ini terhadap bencana alam, sambil mempereratkan hubungan dengan rakyat Malaysia yang berada di luar negara,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.