Keputusan PRN Johor Cetus Gelombang Biru, Isyarat Kebangkitan BN – Ahmad Zahid
JOHOR BAHRU, 11 Julai – Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai permulaan kepada kebangkitan gelombang biru yang diyakini mampu diteruskan pada pilihan raya negeri di Negeri Sembilan, Melaka dan seterusnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau berkata, berdasarkan keputusan tidak rasmi yang diterima, BN berjaya melepasi kemenangan di lebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus mengatasi pencapaian pada PRN Johor yang lalu.
“Alhamdulillah, setakat ini keputusan tidak rasmi yang diterima memperlihatkan BN melepasi 40 kerusi DUN. Berbanding PRN lalu, BN memperoleh 40 kerusi dan kali ini lebih daripada itu.
“Mudah-mudahan kemenangan ini akan mencetuskan gelombang biru, insya-Allah untuk Negeri Sembilan, Melaka dan seterusnya Pilihan Raya Umum,” katanya dalam sidang media di Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, malam ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Johor yang terus memberikan kepercayaan kepada BN untuk menerajui pentadbiran negeri.
Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera parti, Friends of BN, sukarelawan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekerja keras sepanjang kempen sehingga membawa kepada kejayaan tersebut.
Menurut beliau, kemenangan itu turut membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang disifatkan telah mempamerkan rekod pentadbiran cemerlang sepanjang penggal lalu.
“Kejayaan ini adalah kejayaan rasmi dan juga kejayaan peribadi Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilatari pentadbiran yang cekap. Ini merupakan rekod terbaik yang dicatatkan di bawah kepimpinan beliau,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid menegaskan BN tidak akan bersikap megah dengan kemenangan tersebut, sebaliknya akan terus merendah diri dan melaksanakan amanah rakyat dengan sebaik-baiknya.
Katanya, kerajaan negeri yang bakal dibentuk selepas mendapat perkenan Sultan Johor akan memastikan segala aku janji dalam manifesto dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat dan merealisasikan hasrat menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030.
Beliau turut yakin kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan akan terus diperkukuhkan bagi membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat serta mempercepatkan pembangunan negeri.
“Saya berharap Bangsa Johor kembali bertaut dan berpadu. Mudah-mudahan Johor akan menjadi negeri paling maju dalam negara,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih serta mengingatkan mereka agar terus menggalas amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab. – UMNO Online
