Parti, Agama Perkara Berbeza… UMNO Bertanggungjawab Jelaskan Kekeliruan – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – UMNO bertanggungjawab untuk menjelaskan kekeliruan di kalangan orang Melayu-Islam bahawa parti dan agama merupakan dua perkara yang berbeza.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihak lawan terutamanya Pas/Perikatan Nasional (PN) acapkali memainkan isu 3R (agama, bangsa dan raja) untuk menyuntik kebencian rakyat terhadap UMNO.

“UMNO perlu bertanggungjawab bagi menjelaskan kekeliruan di kalangan orang Melayu-Islam bahawa parti dan agama merupakan dua perkara yang berbeza.
Bayangkan pihak lawan yang sebangsa dan seagama, sanggup mentakrifkan UMNO sebagai sekular serta sesat, membacakan qunut nazilah, mendoakan kehancuran, malahan ada kalanya membacakan talkin kepada UMNO, satu sindiran seolah-olah UMNO telah mati.

“Begitu juga mereka sanggup mengheret institusi raja dalam kancah politik lalu merendahkan kedudukan Raja-Raja Melayu. Mereka turut memainkan sentimen perkauman dan politik kebencian melampau.

“Setiap hari, Pas asyik meratib ‘UMDap, UMDap, UMDap’, tetapi kita kena ingat, orang UMNO belum pernah berguling atas jalan sambil pegang bendera Dap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, Pas menggunakan agama hanya untuk menghasut rakyat terutamanya anak muda.

“Pas boleh jadi apa sahaja kerana politik. Mereka boleh jadi penyu hijau seperti yang dipaparkan semasa Ucapan Dasar Presiden. Agama digunakan hanya untuk menghasut rakyat terutamanya anak-anak muda.

“Maki hamun, carutan, caki maki, fitnah dan pembohongan dinormalisasikan melalui kempen-kempen mereka. Strategi yang digunakan ini merosakkan cara pemikiran generasi muda Melayu yang akan mewarisi negara tercinta pada suatu hari nanti.

“Maka, menjadi tanggungjawab UMNO untuk memperbetulkan keadaan ini. Kejayaan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan (DUN) Nenggiri adalah sesuatu yang signifikan. Strategi dipraktikkkan ini, jika diteruskan ke PRK DUN Mahkota, akan dapat mengekalkan momentum kemenangan, termasuklah di Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) yang bakal kita harungi tidak lama lagi,” katanya lagi.

Tegasnya, budaya orang parti yang meletakkan kepentingan organisasi berbanding diri sendiri merupakan salah satu kunci kejayaan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada PRK Nenggiri.

“Kunci kepada kejayaan ini adalah disiplin ahli-ahli parti, menghormati Institusi Presiden, akur kepada arahan parti, meminimakan masalah dalaman di semua peringkat, sama ada di peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan.

“Budaya orang parti dengan meletakkan kepentingan organisasi ini berbanding diri sendiri, dapat dilihat dengan jelas di PRK Nenggiri. Saudara Azmawi, walaupun tidak tercalon sebagai calon pada PRN ke-15 yang lalu tetap istiqomah berkhidmat kepada parti dan masyarakat setempat.

“Akhirnya, apabila beliau dipilih sebagai calon, tiada kedengaran cah keting dan sabotaj parti. Inilah antara yang telah menyumbang kepada kemenangan kita dengan majoriti besar,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, gerak kerja Petugas Rumah 10 jentera Wanita UMNO Malaysia turut membantu kemenangan di PRK Nenggiri.

“Tahniah Azmawi yang lahir daripada kilang Pergerakan Pemuda UMNO kerana memenangi PRK Nenggiri. Tahniah juga kepada Datuk Seri Presiden, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, YM Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan seluruh jentera UMNO/BN yang telah menunjukkan contoh baik, bagi memastikan kemenangan penuh bermakna ini.

“Saya dapati, gerak kerja Petugas Rumah 10 jentera Wanita UMNO Malaysia, turut membantu kemenangan di Nenggiri. Tahniah, Wanita UMNO memang luar biasa!
Sekiranya kita nak menang, buat cara nak menang. Jika kita kehilangan arah, kita juga akan kehilangan kuasa. Bak kata orang tua-tua, patah kemudi, perahu hanyut,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mengusulkan lima perkara untuk memastikan gerak kerja UMNO/BN memperoleh semula sokongan rakyat dapat dilaksanakan sebaiknya.

“Justeru sebagai orang parti, di dewan yang mulia ini saya ingin mengusulkan perkara berikut. Pertama, UMNO perlu mula memberikan tekanan kepada pihak lawan, terutama di kawasan yang dimenangi mereka dengan mencari kelemahan mereka. Di Pahang, kita telah melantik penyelaras berperanan untuk memastikan rakyat dapat merasakan perbezaan perkhidmatan yang diberikan oleh UMNO.

“Kedua, UMNO perlu lebih awal mengenal pasti tokoh yang boleh menjadi taruhan parti pada pilihan raya akan datang. Ketiga, UMNO perlu mendampingi golongan agamawan. Ramai guru-guru pondok dan tahfiz sebenarnya menolak kaedah
dibawa oleh Pas, tetapi kurang disantuni oleh UMNO.

“Keempat, gerak kerja dan pelaksanaan agenda ekonomi bumiputera perlu digerakkan lebih giat oleh UMNO. Kesannya perlu dilihat dan dirasai dalam tempoh berbaki sebelum pilihan raya. Terakhir, kawasan yang dimenangi UMNO perlu menjadi contoh dan model kepada kawasan-kawasan lain dari segi pembangunan, sosial, ekonomi serta perkhidmatan wakil rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.