Pemuda UMNO Tubuh Jawatankuasa Pemantau Wakil Rakyat – Akmal Saleh
KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menubuhkan beberapa jawatankuasa yang telah dicadangkan semasa Persidangan Pemuda UMNO baru-baru ini.
Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka menjelaskan jawatankuasa ini bagi memastikan setiap wakil rakyat dari Pemuda UMNO mesti mematuhi Key Performance Indicator (KPI).
“Antara jawatankuasa telah dipersetujui di peringkat Pemuda UMNO adalah jawatankuasa pemantau wakil rakyat Pemuda. Penubuhan jawatankuasa ini memastikan setiap wakil rakyat di dalam Pemuda UMNO ini mesti ada KPI yang patuhi.
“Mana-mana wakil rakyat Pemuda UMNO yang tidak mencapai KPI kita tidak akan mencalonkan mereka ini dalam pilihan raya akan datang. Jawatankuasa ini telah diperbesarkan lagi dan Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin akan berkerjasama dengan Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Ini sejajar dengan hasrat Pemuda UMNO dan juga hasrat parti untuk melihat semua wakil rakyat yang telah dipilih mesti menjalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada media selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Worlds Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) petang tadi.
Tambah Ketua UMNO Bahagian Jasin itu lagi, Presiden UMNO juga telah bersetuju meluluskan untuk menggerakkan jawatankuasa suara pemuda UMNO Felda di semua kawasan Felda.
“Kita lihat generasi kedua dan ketiga Felda mempunyai pelbagai lagi masalah yang perlu diselesaikan dan Pemuda UMNO melihat bahawa penyelesaian masalah ini perlu dilakukan dengan satu tindakan kuasa politik.
“Suara generasi kedua dan ketiga Felda ini perlu diatasi dan perlu kita tangani dengan baik, maka jawatankuasa ini dikuasai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin. Dalam tempoh enam bulan beliau akan buat satu konvonsyen Pemuda UMNO Felda.
“Ianya bertujuan untuk menyelesaikan segala permasalahan ini terutamanya generasi kedua dan ketiga Felda dari segi perumahan, tanah, ekonomi, peluang perkerjaan dan melihat kelangsungan Felda ini terus dikecapi oleh mereka,” ujarnya.
Ujarnya lagi, ianya sejajar dengan hasrat pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu yang mewujudkan Felda ini dan harap dapat solusi yang terbaik untuk diserahkan pada badan-badan kerajaan (NGO) yang terlibat.
“Sekiranya tidak dapat melaksanakan dengan baik dan sekadar ‘kosong’ sahaja maka Pemuda UMNO telah bertekad akan melakukan tindakan untuk pastikan permasalahan ini dapat diatasi dalam tempoh beberapa tahun mendatang, insya-Allah,” jelas beliau. – UMNO Online