Pembahas KULN Sebak, Tidak Akan Lupa Dukungan Berterusan UMNO
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Semalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 telah melabuhkan tirainya dengan acara tahunan persidangan parti Melayu terbesar ini berlangsung dengan jayanya.
Pembahas Kelab UMNO Luar Negara (KULN), Azizi Abdullah tidak dapat menahan sebak ketika berucap mewakili kelab berkenaan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 apabila mengenangkan harapan kedua ibu bapanya untuk melihat anak-anak mereka terus cemerlang.
Menurut beliau dukungan serta sokongan daripada keluarga termasuklah UMNO itu sendiri yang sentiasa prihatin dan peka kepada pelajar khususnya menerusi KULN terus menyuntik semangat mereka dalam usaha memastikan impian ibu bapa tercapai.
“Selain dari menjaga kebajikan warga Malaysia di perantauan, KULN adalah suatu platform yang digunakan untuk mengasah nilai-nilai kepimpinan, KULN juga merupakan duta kecil UMNO yang menyampaikan segala info terkini kepada komuniti di luar negara.
“KULN juga merupakan komponen penting yang perlu diberikan perhatian dalam usaha merealisasikan dasar-dasar yang ingin dicapai terhadap komuniti di luar negara. Saya menyeru UMNO, supaya dapat membekalkan kami dengan strategi yang kukuh sebagai agen pihak pelaksana di luar negara.
“Kami bersedia mewujudkan kolaborasi serta jalinan hubungan dua hala bersama rakan UMNOSiswa di tanah air, dalam bertukar maklumat dan pengalaman di samping menjalankan program kebersamaan. Sebagai contoh program-program berasaskan kepimpinan, komunikasi dan pengurusan organisasi yang berintelektual,” katanya.
Beliau seterusnya menambah dengan langkah sedemikian pihaknya yakin dan percaya ianya akan dapat menarik minat generasi Z dan millenial sebagai objektif utama dalam melahirkan entiti profesional dan pemacu negara.
“Saya ingin menyahut seruan dan cabaran oleh YB Dr Akmal Salleh, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, yang telah melontarkan kepada kami untuk memastikan UMNO ini tidak tidur dan sentiasa mendapat dukungan dan sokongan terhadap pucuk pimpinan parti di media sosial,” ujarnya.
Pada akhir ucapan beliau mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kepimpinan UMNO dan menukilkan bait-bait ungkapan yang menarik pendengar di dalam Dewan Merdeka.
“Saya juga berterima kasih kepada pemimpin yang ada di atas pentas ini, yang saya tidak dapat sebut satu persatu. Saya juga mengalu-alukan kepada semua pucuk pimpinan UMNO, untuk membuat kunjungan beramah-mesra bersama adik-adik ini di luar negara mahupun di dalam negara, di mana boleh memberi dorongan dan dukungan kepada kami.
“Sebelum saya akhiri ucapan saya, izinkan saya untuk menyampaikan satu nukilan yang dicipta oleh saya sendiri khususnya untuk parti yang saya cintai ini:
“Ayahanda, bonda kami sedar bertapa peritnya ayahanda dan bonda bersusah-payah untuk pastikan kami menuntut ilmu di luar negara.
Ayahanda dan bonda, kami tahu betapa besarnya harapan, dan betapa besarnya amanah yang harus kami pikul,
kami juga sedar, banyak harta yang telah digadaikan, demi maruah umno terus terbela.
“Anakanda berjanji anakanda akan memikul dan meneruskan perjuangan yang diwarisi ayahanda dan bonda,
Anakanda juga berjanji tidak akan sia-siakan peluang yang anakanda dapat ini untuk menyumbang kepada parti dan negara tercinta,
Anakanda juga berjanji bahawa anakanda akan mengangkat maruah parti UMNO dan akan terus setia walau apa jua rintangan yang mendatang.
“Ayahanda dan bonda doakanlah kami,
berikanlah restu kepada kami agar kami dapat menimba ilmu,
agar kami dapat menjadi anak bangsa yang berjuang untuk agama, bangsa dan negara.
Jagalah silatulrahim sesama kita, eratkanlah hubungan yang telah kita bina agar kita terus gah di mata dunia.
Terima kasih ayahanda, terima kasih bonda, terima kasih UMNO,” ujarnya dengan linangan air mata. – UMNO Online