UMNO Berpeluang Untuk Kembali Berada Di Takhta Dominan – Mohammad Sollehin

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berpendapat bahawa UMNO mempunyai peluang untuk kembali berada di takhta dominan.

Ujarnya, UMNO ini adalah parti perjuangan dan semua pihak bertanggungjawab untuk membangunkannya semula sekiranya menerima kekalahan pada siri pilihan raya akan datang.

“Ada yang menyatakan kegusaran andai Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang UMNO kalah, ia akan jadi kubur buat parti. Nasihat saya mudah, UMNO ini parti perjuangan, daripada mula membuka mata sehingga roh meninggalkan jasad kita.

“Kalau kita kalah PRU ke-16, kita bangkit esoknya perjuangkan lagi parti ini. Kalau kita kalah pada PRU ke-17, kita bangunkan semula parti ini, sebab ini perjuangan ahli parti kerana UMNO adalah parti orang kita.

“Persoalan besar yang berlegar dari ahli parti di bawah sana, mampukah UMNO bangkit semula? Apa jaminan UMNO mampu bangkit kembali? Perjuangan bukan mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 mewakili Pergerakan Pemuda UMNO, semalam.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang berkata, UMNO perlu dilihat sebagai parti masa hadapan dan tidak boleh lagi bernostalgia untuk menarik sokongan rakyat.

“Parti Buruh di United Kingdom (UK) satu ketika juga kalah pilihan raya. Selepas hampir 14 tahun, hari ini mereka kembali ditampuk kuasa. Maknanya UMNO juga punya peluang untuk kembali berada di takhta parti dominan semula, tetapi kita harus faham realiti politik kini. Pertambahan pengundi muda pada pilihan raya akan datang bukan lagi rahsia.

“UMNO perlu berubah dan tidak boleh dilihat sebagai parti tua. UMNO harus dilihat sebagai parti masa hadapan. UMNO tidak boleh bernostalgia kerana itu bukan jaminan kemenangan. Tetapi, apa harapan yang boleh disampaikan oleh UMNO generasi masa akan datang? Itu persoalan yang harus kita selesaikan bersama.

“Parti jadi lemah dek kerana pertelingkahan dalaman. Dalam keadaan hari ini pembangkang menyerang kita menyatakan UMNO ini ‘UMDap’. Seolah-olah parti UMNO ini tidak pernah menjadi orang Melayu dan Islam, sedangkan hampir puluhan tahun inilah parti yang jaga orang Melayu dan Islam,” katanya lagi.

Menurutnya, keputusan parti untuk mengetengahkan calon muda pada PRU ke-15 lalu menunjukkan bahawa UMNO telah membuka ruang kepada anak muda.

“Apabila kita sebut UMNO ini adalah parti untuk generasi akan datang sudah tentu Pergerakan Pemuda dan Puteri juga mahu ruang dan peluang tersebut. Alhamdulilah parti kini memberi ruang untuk sayap muda menjadi calon.

“Pilihan raya yang lalu juga ramai yang dipilih sebagai calon. Bagi saya kita menunjukkan bahawa UMNO ini adalah parti yang terbuka. Untuk pilihan raya akan datang, formulanya tetap sama… berilah ruang juga untuk orang muda.

“Cuma pendekatan kempen kita harus berbeza. Kita harus jadi juara di media sosial. Kita tidak boleh lagi membawa pendekatan sama. Kita tak boleh pilih calon ‘last minute’. Pilih calon itu sekarang. Buat kerja dari sekarang kerana apabila nak hadap pilihan raya baru senang nak ‘jual’ nama calon,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO menyambut baik Ucapan Dasar Presiden yang menyeru agar parti kekal membawa politik sederhana.

“Pergerakan Pemuda UMNO juga menyambut baik ucapan dasar presiden supaya UMNO kekal membawa politik yang sederhana dan wasatiyyah. Sudah tentu itulah menjadi idea supaya UMNO dilihat parti yang ‘moderate’.

“Berbeza dengan parti lawan kita yang menyatakan kononnya merekalah ‘terpaling Islam’ seolah-olah masuk Pas seperti satu akidah baharu. Seolah-olah UMNO ini adalah parti yang tidak langsung memperjuangkan agama Islam. Kita pernah dilabel sebagai ‘kafir’.

“Budaya politik seperti ini tidak boleh lagi ada. Rakyat kena sedar bahawasanya UMNO tidak pernah membawa budaya seburuk itu. Cukuplah bawa politik kebencian,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.