Rakyat Pahang Kecewa Tindakan Biadap Muhyiddin, Bercakap Macam Orang Meroyan – Ridzuan

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Rakyat negeri Pahang merasa amat marah dan geram atas tohmahan biadap oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin terhadap Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kata Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli.

Beliau malah mendesak tindakan tegas diambil ke atas Muhyiddin oleh pihak berkuasa ekoran berpuluh laporan polis telah dibuat terhadapnya berikutan kenyataannya pada ceramah di Pilihan Raya Negeri (PRN) baru- baru ini.

“Cerita khayalan tentang beliau tak dipanggil untuk angkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Kenyataan tersebut dengan jelas menggambarkan seolah-olah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ketika itu tidak berlaku adil dengan tidak memanggil beliau mengangkat sumpah.

“Dua hari lepas jugat elah diadakan Himpunan Solidariti Raya dan Rakyat Berpisah Tiada oleh siswa Pahang di Kuantan. Yang kita hairan Muhyiddin ni bercakap macam orang meroyan apa hal?

“Rasanya penyakit sawan Pas dah berjangkit kepada beliau. Pas ni sejak dari dulu sentiasa menyalahkan orang lain,” katanya.

Ridzuan berkata demikian pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 sebagai penyokong usul ucapan dasar Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, beliau turut sama mengimbau kembali pada tanggal 19 November 2022 apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 diumumkan yang menyaksikan tidak ada parti berjaya membentuk kerajaan.

Jelasnya lagi ketika Perdana Menteri tidak dapat dilantik dan ketiadaan kerajaan yang berfungsi, Sultan Pahang yang merupakan YDPA ketika itu telah menyelamatkan keadaan yang membimbangkan rakyat Malaysia.

Menurut beliau ini kerana Muhyiddin sendiri selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN), telah menolak mentah-mentah cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

“Sedangkan Muhyiddin selaku bekas Perdana Menteri sepatutnya tahu bahawa apabila ada Akta Anti Lompat Parti, surat akuan ahli-ahli Parlimen secara individu (sekalipun ada) adalah tidak terpakai sama sekali.

“Keputusan untuk bersama-sama dengan mana-mana gabungan mestilah secara ‘en bloc’. Kita cabar Muhyiddin kalau anak jantan untuk dedahkan 115 surat akuan Ahli Parlimen tersebut.

“Sedangkan kita semua tahu, YDPA ketika itu begitu teliti semasa menguruskan perlantikan Perdana Menteri dengan memanggil ketua-ketua parti, mendapat nasihat pakar-pakar perundangan malahan memanggil mesyuarat khas Majlis Raja-raja,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.