Bibi Sharliza Harap Ahli UMNO Rapatkan Saf, Ambil Hikmah PRU Lalu
KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid berharap anggota parti termasuklah para pemimpin untuk merapatkan semula saf.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah berkata, kekalahan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan 15 menjadi hikmah kepada parti.
“Parti ini banyak berjasa kepada semua yang berada di sini dan juga rakyat di luar sana. Tahun 2018, kita ditakdirkan kalah dan kita terus diuji lagi dengan hanya tinggal 30 kerusi parlimen pada PRU ke-15. Dengan adanya ujian ini, kita dapat bersama-sama rapatkan saf, fikirkan kebaikan kesinambungan buat parti keramat ini.
“Malah, kita juga tidak boleh menunding jari sesuka hati. Kita perlu pertahankan institusi Presiden dengan menelan pahitnya realiti politik hari ini dan bangkit semula sebagai parti yang sentiasa mendahulukan rakyat seluruhnya.
“Kesinambungan dalam kepimpinan ini sangat penting untuk menguatkan parti ini. Perjuangan UMNO bukanlah sekadar keperluan, tetapi satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap ahli di setiap peringkat termasuk bahagian dan cawangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 mewakili UMNO Negeri Sembilan.
Menurutnya, sayap Pergerakan Puteri dan Pemuda UMNO amat penting untuk melahirkan pelapis kepimpinan pada masa akan datang.
“20 tahun dahulu saya berucap di sini sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan dan Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia. Pada hari ini saya sekali lagi di atas pentas ini sebagai Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan.
“Begitu juga dengan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang dulu juga datangnya dari kilang Pergerakan Puteri UMNO dan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said juga merupakan Pengasas Puteri UMNO Malaysia. Tambahan pula, Setiausaha Agung UMNO yang sekarang iaitu Datuk Dr Asyraf Wajdi datangnya dari kilang Pergerakan Pemuda UMNO.
“Ini bermakna kedua dua sayap ini amat penting dalam kesinambungan kepimpinan parti lebih-lebih lagi untuk menarik lebih ramai orang muda dan wanita Melayu muda untuk bersama dalam parti. Ini adalah agenda pertama yang harus dibuat oleh Pemuda dan Puteri, bukan hanya meramaikan sahaja malah perlu fikirkan bagaimana untuk memperkasakan dan menguatkan wadah perjuangan dan hala tuju UMNO ini,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, UMNO perlu mengubah gerak kerja dan menggunakan teknologi baharu untuk memperoleh semula sokongan rakyat.
“Zaman sudah berubah.Sebelum mengubah UMNO, gerak kerja kita juga perlu berubah. Kita tidak boleh terus menggunakan pendekatan yang lama dan ketinggalan zaman. Dunia kini bergerak dengan begitu pantas dan teknologi semakin canggih dengan informasi boleh didapati hanya di hujung jari.
“Di era digital ini, kita perlu bijak mengadaptasi diri dengan persekitaran sedia ada. Semua itu perlu dikuasai oleh jentera parti kita keseluruhannya. Namun, dalam menjenamakan semula parti, tentu akan juga ada fitnah yang berterusan. Jangan lah kita pula berkongsi tentang apa yang orang cakap buruk tentang parti. Kita perlu akur bahawa hari ini kempen politik sangat berbeza kini bukan sahaja perlu dijalankan secara fizikal, tetapi juga secara digital.
“Kemunculan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) boleh mengubah landskap kempen politik secara keseluruhan. Teknologi ini bukanlah musuh kita, sebaliknya ia adalah alat yang boleh kita gunakan untuk mengukuhkan lagi kedudukan UMNO di persada politik negara,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru para perwakilan untuk terus merapatkan saf, mengukuhkan kesetiaan bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti dalpat diteruskan.
“Saya sekali lagi menyeru kepada semua perwakilan yang hadir pada hari ini, marilah kita bersama-sama rapatkan saf, mengukuhkan lagi kesetiaan kita kepada parti untuk memastikan kesinambungan perjuangan dan memperteguhkan perpaduan kita. Hanya dengan cara ini kita dapat memastikan bahawa UMNO terus relevan, terus kuat, dan terus menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.
“Nenggiri dah sudah. Ini masanya untuk wanita menerajui jentera PRK DUN Mahkota, tapi bukan jentera sahaja Datuk Seri Presiden, calon pun mestilah wanita. Akhir kata, saya ingin mengingatkan diri saya dan saudara-saudari semua, bahawa perjuangan kita belum selesai.
“Perjuangan kita menuntut keadilan ‘bossku’ juga belum selesai. Banyak kerja yang perlu dilakukan untuk memastikan bahawa UMNO terus menjadi parti pilihan rakyat. Marilah kita bersama-sama bangkit untuk memastikan bahawa UMNO terus relevan, kuat, dan rakyat terus memberi kepercayaan kepada parti keramat ini,” katanya lagi. – UMNO Online