HAWA Menjadi Jambatan Misi Dan Visi Kerajaan Dengan Rakyat – Sharizat Abdul Jalil

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA), Tan Sri Sharizat Abdul Jalil menjelaskan bahawa HAWA adalah penyambung lidah antara parti, kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga masyarakat.

Ini kerana katanya setiap program yang dianjurkan oleh HAWA melalui NGO bertujuan untuk menyelaraskan misi dan visi kerajaan serta parti dengan rakyat.

“HAWA adalah untuk penyambung antara misi dan visi kerajaan serta parti untuk rakyat jelata. ‘Instruction’ yang diberikan untuk menjalankan program-program mengutip isu-isu di peringkat akar umbi melalui ‘stake holders’ iaitu NGO-NGO.

“Program HAWA ini melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk NGO-NGO, para akademik, profesional. Tujuannya adalah untuk merapatkan dan menjadi penyambung supaya ada saluran rakyat menyuarakan isu-isu dan sebagainya dan HAWA mendapat sambutan dari ngo-ngo,” katanya.

Beliau berkata demikian pada media selepas Majlis Serah Terima Instrumen MoU Rakan Strategik di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) petang ini.

Turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Sharizat yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata penubuhan HAWA ini bukan hanya keterlibatan kaum wanita tetapi juga kaum lelaki turut terlibat dalam majlis ini.

“Ia bukan hanya untuk wanita tetapi kaum lelaki juga turut bersama HAWA untuk menerokai ‘space’ dan memerlukan perhatian sepenuhnya.

“Sebenarnya ada satu ‘instrument’ dan amat efektif dan akan turun ke seluruh pelosok negeri. Ini amat mustahak bagi pemimpin-pemimpin dan ia mesti ada ‘engagement’ dengan pelbagai sektor supaya tidak rasa ketinggalan,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.