UMNO Masih Dominan Dalam Dinamika Landskap Politik Semasa

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Dinamika landskap politik hari ini memperlihatkan UMNO masih dominan walaupun kini berkongsi kuasa dalam menubuhkan Kerajaan Perpaduan, ujar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Timbalan Perdana Menteri itu, ini dapat dilihat melalui beberapa syarat dalam kerjasama sehingga termeterai perjanjian membentuk kerajaan dan juga dasar awam yang dilaksanakan.

Menurutnya lagi, usaha-usaha untuk memastikan agar UMNO terus dominan dalam erti kata menguasai dan mempunyai kelebihan di tengah-tengah perubahan landskap amat penting.

“Saya sebelum ini telah berulang kali menyentuh soal dominan kembali. Untuk itu, suka saya jelaskan dominan dalam erti kata Pertama: Kita mesti dominan daripada segi bilangan kerusi. Ini menuntut semua UMNO Bahagian yang Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN)nya kalah, perlu merencana usaha untuk menawan semula kerusi-kerusi berkenaan.

“Kedua; Kita mesti dominan dalam kedudukan perundingan sekiranya keadaan memerlukan perkongsian; Ketiga: Kita mesti dominan dalam ideologi perjuangan iaitu mempertahankan keindukan Islam dan Melayu/Bumiputera; dan Keempat: Kita mesti dominan dalam menawarkan dasar-dasar awam yang menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran negara,” katanya ketika berucap dalam Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, faktor kedua dan ketiga telahpun UMNO lalui selepas Pilihan Raya Umum (PRU-15) yang lalu.

“Kita berunding membentuk perkongsian. Kita menetapkan syarat-syarat kerjasama sehingga termeterainya perjanjian membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Keempat-empat faktor ini, bukan sahaja berkait dengan soal kelangsungan parti tetapi mampu menjadikan parti kita sebagai penentu dalam soal pembentukan kerajaan.

“Sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, kita tidak pernah disekat untuk memasang cita-cita besar. Kita berhak kembali dominan dengan jalan yang kita lakar. Kerana kita adalah parti yang bebas merdeka,” katanya lagi yang berharap agar pandangannya itu jangan ditafsir sebagai keangkuhan.

Sebaliknya kata Ahmad Zahid di hadapan hampir tiga ribu perwakilan, ia adalah pendirian tegas dalam memastikan UMNO terus relevan.

Imbaunya juga enam tahun sebelum ini parti dilanda dengan pelbagai episod bagaimana UMNO mahu dikuburkan, pemimpin dihina, ada yang disogok agar khianat meninggalkan bahtera malah undang-undang diperalat mengikut nafsu sang penguasa.

“Namun ketika itu, teringat saya pesan hikmah daripada Buya HAMKA, katanya: “Pemimpin ialah memimpin supaya tegak. Membimbing supaya dapat berjalan. Memapah supaya jangan jatuh. Menarik naik kalau sudah tergelincir jatuh. Tegak ke muka kalau bahaya datang mengancam”.

“Atas kata-kata hikmah inilah, saya bersama-sama dengan barisan kepimpinan UMNO terus mengatur langkah. Meneroka pelbagai bentuk kerjasama demi kelangsungan wadah.

“Alhamdulillah, kita hanya menjadi pembangkang selama 22 bulan. Dalam keadaan getir, penuh dengan cabaran dan penghinaan, kita menyusun strategi dan perancangan. Sehingga ke hari ini, UMNO tidak karam dalam gelombang perubahan,” katanya yang berjanji tidak akan menjadi pengkhianat atau merelakan mana-mana pihak menjadikan UMNO, parti keramat sebagai bahan dagangan.

Selanjutnya, Ahmad Zahid juga menggariskan tiga rukun politik bagi mendepani laman baharu dinamika dan realiti semasa politik tanahair.

Pertama ujarnya, menetapkan sasaran penguasaan kerusi Parlimen bagi memastikan UMNO menjadi parti yang membentuk kerajaan; Kedua: Membuka pilihan untuk bekerjasama dengan jajaran politik yang menerima keindukan Islam dan Melayu sebagai teras; dan Ketiga: Memastikan politik sederhana dengan mengambil jalan tengah sebagai model kesepakatan yang berupaya memelihara kestabilan negara. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.