UMNO Fokus Politik Kesederhanaan, Progresif Laksanakan Agenda Rakyat – Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Mohamad Alamin berpandangan politik kesederhanaan penting kepada parti keramat ini sebagai agenda memartabatkan orang Melayu/Islam di negara ini.

Menurut beliau, kesederhanaan tersebut ialah mengetepikan politik sempit dengan fokus melaksanakan agenda rakyat.

“Saranan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) amat jelas dengan mengajak semua para pejuang di peringkat nasional, negeri, bahagian dan akar umbi untuk bersama-sama bangkit dan merenung kembali pendekatan wasatiyah, kesederhanaan yang menjurus kepada untuk memperkuat gerak kerja.

“Sederhana itu bukan bererti perlahan tetapi kena lebih agresif dan progresif dalam mengatur langkah untuk menjadikan UMNO ini parti berjaya dalam peringkat raya nanti,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika ditemui selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang berlangsung ketika ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Mengulas lanjut dengan ucapan dasar Presiden, beliau berkata amanah diberi oleh Ahmad Zahid itu perlu diraikan dengan sebaiknya bagi menjadikan parti ini kembali dominan sekaligus dapat menjalan agenda rakyat sebaiknya.

“Apabila ada pendekatan ataupun manhaj yang telah digaris oleh Presiden harus menjadi garis panduan dan pedoman dalam merangka gerak kerja ke hadapan.

“Demi memastikan pada pilihan raya akan datang, inilah manhaj yang membawa kepada UMNO menjadi sebuah parti dominan kembali.

“Ini matlamat dan target untuk menjadikan UMNO menjadi parti dominan dalam kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan,” ujar beliau.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya berkata orang Melayu diseru untuk kembali kepada politik kesederhanaan supaya tidak terikut dan terbuai dengan penceritaan muluk-muluk kononnya pembangkang yang berjuang demi Melayu dan agama.

Beliau berkata orang Melayu perlu sedar akan perkara ini di mana mereka (pembangkang) hanya tahu memainkan sentimen dan emosi, bukannya bertujuan memperkukuhkan kedudukan Melayu dan Islam. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.