PAU 2024: Ahmad Zahid Garis Lima Agenda Utama Untuk UMNO

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan lima agenda utama sebagai pedoman untuk menentukan haluan parti.

Lima agenda yang beliau nyatakan ialah pengislahan generasi masa hadapan, pemberdayaan wanita, anak muda pemangkin pertumbuhan, pemantapan tranformasi ekonomi bumiputera dan politik digital.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ujarnya, UMNO perlu menggariskan agenda-agenda besar perjuangan untuk masa depan kerana membangunkan kapasiti anak bangsa amat penting demi kelangsungan sebuah perjuangan.

“Saya pasti di hadapan saya, baik yang berada di pekan, bandar mahupun desa – ingin melihat UMNO kembali gemilang. Justeru, kita mesti bersama-sama menggarap usaha ini. Kita tidak boleh bergantung kepada tuah semata-mata. Yang bulat tak akan datang bergolek, yang pipih tak akan datang melayang.

“Setiap dari kita mestilah memiliki jiwa islah. Jiwa yang sentiasa berusaha untuk mencipta perubahan dan menakluki pemikiran masa hadapan. Kenal pasti ruang untuk menambah kreativiti, aspirasi dan anjakan dalam setiap perancangan mulai hari ini.”

Katanya, agenda pertama iaitu pengislahan generasi masa hadapan diwujudkan lantaran kebelakangan ini wujudnya kelompok yang menggunakan tarbiyah bagi menanam kebencian, ketaksuban serta kejumudan dan lebih parah ketaksuban dipasak kepada anak-anak seawal peringkat tabika menjurus kepada politik kepartian.

“Untuk itu, pelaksanaan program Pra Tahfiz Tabika KEMAS telah dimulakan pada tahun lepas di 100 buah TABIKA melibatkan 1,500 orang kanak-kanak. Tahun ini, ianya diperluaskan kepada 4,145 buah TABIKA dengan penyertaan 62,172 orang kanak-kanak.

“Saya akan memastikan program Pra Tahfiz ini akan dilaksanakan di 9,600 buah Tabika KEMAS seluruh negara secara berperingkat. Sasaran besar kita, untuk melahirkan seramai 140 ribu huffaz cilik menjelang tahun 2026.

“Kita juga telah membuat keputusan agar semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) melaksanakan program Ulul Albab. Matlamat kita semua 57 MRSM dengan kapasiti pelajar seramai 37 ribu orang, akan melahirkan generasi yang mempunyai kekuatan dan kemantapan jiwa bersandarkan Al-Quran tanpa meminggirkan hal akademik dan kursus yang telah ditetapkan,” katanya.

Ujar beliau bagi memperkasakan agenda melahirkan generasi masa hadapan yang kukuh jati dirinya, UMNO akan mengangkat cadangan kepada kerajaan agar semua Sekolah Rendah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) melaksanakan program Ulul Albab sepenuhnya.

“Ini bagi memastikan wujudnya kesinambungan pendidikan Al-Quran yang telah kita mulakan di peringkat Tabika.

“Selain itu, kita juga akan mencadangkan agar MARA melengkapkan ekosistem pendidikannya, dengan membuka sekolah-sekolah rendah. Ini bagi memastikan agenda membangunkan generasi masa hadapan, dapat digarap dengan silibus pembangunan modal insan yang mantap.”

Berkaitan agenda kedua iaitu pemberdayaan wanita, katanya, UMNO perlu melonjakkan peranan kaum wanita sebagai aset penting pembangunan negara.

“Agenda ketiga, anak muda pemangkin pertumbuhan iaitu UMNO perlu membangunkan pendidikan dan meningkatkan sumber pendapatan anak muda. Kita perlu lebih terkehadapan dalam memikirkan kelangsungan hidup mereka.

“Pada Perhimpunan Agung tahun lalu, kita telah membangkitkan penglibatan besar anak-anak kita dalam ekonomi Gig. Cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig (SEGiM) telahpun kita kemukakan dan diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. Kini ia berada di fasa akhir penubuhan bagi membela nasib sekurang- kurangnya 1.16 juta pekerja,” katanya.

Berkaitan agenda agenda keempat iaitu pemantapan tranformasi ekonomi bumiputera, Ahmad Zahid menekankan bahawa UMNO tetap komited dalam memperkasakan ekonomi Bumiputera.

“Sejak Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) pertama pada tahun 1965, yang diilhamkan oleh UMNO, kita terus berperanan mengangkat agenda ekonomi Bumiputera.
Terbaharu, pada Februari tahun ini, hasil cadangan dewan keramat ini tahun lalu, KEB 2024 telah berjaya dianjurkan.

“Maka dalam Perhimpunan Agung kali ini, UMNO mencadangkan untuk kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Utama (the Core Economic Action Council – CEAC). Majlis ini difikirkan perlu memandangkan negara sedang beralih kepada sumber pertumbuhan dan penghasilan baharu negara seperti Nadir Bumi, Ekonomi Digital, Inovasi dan Pelaburan Hijau serta Pendidikan TVET Aras Tinggi. Di samping itu, melalui CEAC ini, kerajaan juga boleh mempertimbangkan regim percukaian progresif bagi meningkatkan pendapatan negara.”

Menerusi agenda kelima iaitu politik digital, Ahmad Zahid mahu anggota UMNO mendepani cabaran baharu melalui teknologi AI menyebut berkaitan perubahan teknologi yang turut mempengaruhi pola fikir rakyat melalui 3-S.

“Perubahan teknologi turut mempengaruhi pola fikir rakyat melalui 3-S. Dahulu, S pertama ialah kebergantungan kita hanyalah kepada ‘skrip dan skrin’. Politik masih mudah dikawal melalui akhbar, majalah dan televisyen. Kemudian, kita beralih kepada era S yang kedua iaitu ‘Scroll’ yang mendedahkan kita kepada website, portal dan blog. Kini, kita berada di era S yang ketiga iaitu ‘swipe’ melalui paparan video ringkas di Tiktok.

“Saya kongsikan 3-S ini sebagai persediaan untuk kita mengadaptasi perubahan teknologi bagi memenangi peperangan persepsi. Politik berteraskan Kecerdasan Buatan atau ‘AI’ akan menguasai peperangan minda pada PRU akan datang. Yang tiada boleh jadi ada. Yang nyata boleh jadi dusta. Yang jauh seolah-olah di depan mata,” jelasnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.