Kerjasama Ahli Parti, Kukuhkan UMNO Untuk Bangkit Dan Kembali Dominan – Johan

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Johan Abdul Aziz menyambut baik ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk terus mengaplikasi gerak kerja terbaik sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua berkata amanah Presiden itu perlu dilaksanakan dengan kerjasama di antara akar umbi parti bagi memastikan parti ini kembali dominan.

“Banyak nasihat dan juga tunjuk ajar yang patut UMNO di peringkat akar umbi kena ikuti yang penting sekarang ni kita nak melihatkan UMNO bangkit kembali, dominan.

“Itu penekanan yang cukup kuat jadi kita harus bagi kerjasama dalam perancangan yang disusun peringkat majlis tertinggi sampailah ke peringkat negeri.

“Jadi inilah masanya kita mempertahankan institusi parti UMNO dan Presiden dan bagi sepenuhnya sokongan apa saja perancangan yang dilakukan,” katanya.

Johan berkata demikian ketika ditemui selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang berlangsung ketika ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut merakamkan penghargaan kepada menteri-menteri UMNO yang komited dalam membela aspirasi rakyat.

Tambah beliau ini termasuk idea-idea dibawa sayap parti pada persidangan semalam dalam membawa aspirasi anak muda.

“Saya tengok tadi pelbagai dicadangkan oleh Pemuda untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan usaha-usaha daripada peringkat Puteri, anak muda dan usaha-usaha menteri-menteri, dan prestasi UMNO dilihat begitu ke hadapan.

“Dengan cara begini saya yakin dan percaya di awal mukaddimah Presiden lagi tadi memaklumkan supaya titik bingit yang ada ketepikan. Pendapat boleh diketengahkan tapi bila sesuatu keputusan yang dah dibuat wajib kita laksanakan bersama itu penekanan yang saya lihat sekarang.

“Saya percaya ujian demi ujian akan datang dan Presiden pun dah beritahu bersiap sedia ada beberapa lagi PRN dan PRK akan menjelang tiba di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota,” ujar beliau.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya berkata UMNO perlu kembali dominan bagi menguasai di tengah-tengah perubahan landskap politik ketika ini.

Menurut beliau ia perlu dilakukan dengan merencana usaha untuk menawan semula kerusi-kerusi yang pernah disandang UMNO/BN. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.