Tertib Pembukaan PAU 2024, Bacaan Selawat Iring Perarakan Kepimpinan UMNO
KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Perjalanan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang bermula hari ini berlangsung penuh tertib dengan bacaan selawat mengiringi kemasukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama barisan kepimpinan dan ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ke dalam Dewan Merdeka.
Mendahului perarakan ini adalah pembawa senaskah al-Quran melambangkan agama Islam, sebilah Keris Pusaka Melayu melambangkan perjuangan bangsa Melayu, sehelai bendera Jalur Gemilang dan sehelai Sang Saka Bangsa berserta buku Perlembagaan UMNO melambangkan perjuangan parti.
Al-Quran, Keris Pusaka Melayu, buku Perlembagaan dan Jalur Gemilang serta Sang Saka Bangsa diserahkan kepada Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin sebagai simbolik bermulanya persidangan Perhimpunan Agung UMNO.
Menyusul kemudian ialah bacaan ayat suci al-Quran dengan qari jemputan, Adam Iskandar Mohd Sharif yang memperdengarkan bacaan dari surah Al-Anfal ayat 59 hingga 63, manakala rumusan intipatinya disampaikan oleh Muhammad Iqbal Hakim Dzul Afiezal.
Adam Iskandar dan Muhammad Iqbal Hakim Dzul Afiezal, berumur 16 tahun adalah pelajar tingkatan empat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar, dan Johan Pertandingan Tarannum dan Tafsir Ihtifal Ulul Albab kali ke 9 bagi kategori lelaki. Adam Iskandar juga merupakan hafal 30 juzuk al-Quran.
Kemudian, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asfraf Wajdi Dusuki membacakan laporannya dengan diikuti Badruddin mengambil tempat selaku Pengerusi Tetap UMNO bagi mempengerusikan persidangan dan memulakan PAU 2024 dengan bacaan doa, nyanyian nyanyian lagu NegaraKu dan lagu UMNO ‘Bersatu Bersetia Berkhidmat’ serta pembentangan peringatan persidangan dibacakan di hadapan perwakilan yang berjumlah 2,939 orang.
Terdahulu, upacara menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’ dilaksana di Plaza Merdeka. – UMNO Online