Puteri UMNO Bukan Sekadar Pelengkap Parti, Berperanan Tarik Sokongan Wanita Muda
KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Pergerakan Puteri UMNO memainkan peranan tersendiri dalam menarik sokongan wanita muda kepada parti ini, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Jelas beliau, sayap ini bukan sekadar pelengkap malah menjalankan gerak kerja terbaik di setiap pilihan raya.
“Sesungguhnya Pergerakan Puteri UMNO bukanlah sekadar pelengkap di mata, mereka adalah Puteri yang sentiasa memberi peranan yang sangat penting kepada pilihan raya yang lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai wakil Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO (PAU) 2024 yang diadakan di Dewan Merdeka.
Abdul Rahman dalam pada itu berkata bahawa perbahasan-perbahasan yang dibawa oleh setiap perwakilan ternyata mempamerkan kematangan apabila mengupas pelbagai perkara melibatkan kepentingan rakyat khususnya buat golongan muda.
“Kita tahu semua Puteri merupakan bongsu tetapi saya menilai sebentar tadi, perbahasan ini sangat bermutu sekali daripada pembahas-pembahas yang telah membahaskan dengan begitu lantang dengan berbagai-bagai cara.
“…dan ini sudah pasti menyemarak semangat kepada para perwakilan yang dapat hadir pada hari ini dan penerimaan masyarakat terhadap Puteri itu sendiri dan ini betul-betul dipayungi oleh keluarga besar UMNO kepada puteri.
“Sebab itu saya rakamkan ucapan tanniah kepada Pergerakan Puteri kerana gandingan mantap ketua puteri, naib ketua, exco-exco, bahagian dan semua ahli-ahli Puteri ini yang melengkapkan sayap ini menjadi kuat dan bersatu untuk menghadapi apa jual cabaran di masa mendatang ini,” ujar beliau. – UMNO Online