Perhimpunan Agung UMNO 2024 Bawa Makna Tersendiri, Rai Bulan Kemerdekaan – Sharkar
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin melihat Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang akan berlangsung pada minggu ini bakal membawa makna yang tersendiri kepada parti berkenaan.
Menurut beliau ia bukan sahaja rutin tahunan parti berkenaan malah pada tahun ini diadakan pada bulan kemerdekaan yang akan disambut pada 31 Ogos saban tahun.
“Lebih manis perhimpunan agung ini diadakan selepas Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Sabtu lalu.
“Sudah pastilah kemenangan yang disambut dengan penuh keinsafan dan tawaduk itu akan mengiringi perhimpunan agung parti pada tahun ini dan marilah kita sama-sama kuatkan tali salitaruhim dengan terus muafakat antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.
Kata beliau lagi Perhimpunan Agung UMNO sememangnya menjadi tumpuan bukan sahaja kepada ahli serta pendukung parti malah kepada rakyat di luar sana.
Katanya di situlah medan perbincangan serta lontaran pembahas bukan sahaja mengenai kekuatan parti dan masa depan namun apa yang utama juga adalah soal yang melibatkan kepentingan rakyat.
“Inilah yang pada saya Perhimpunan Agung UMNO menjadi tumpuan dan insya-Allah segala agenda orang Melayu, umat Islam serta rakyat seluruhnya akan menjadi topik kepada apa yang dibincangkan nanti.
“Kepada seluruh perwakilan selamat datang dan sama-sama kita raikan perayaan tahunan UMNO. Semoga kita dapat harungi perjuangan parti bersama,” ujarnya lagi.- UMNO Online