PAU2024: Pengkaderan Kepimpinan Pelapis… Kekalkan Kerelevanan UMNO – Shahaniza
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Pengkaderan untuk menyediakan kepimpinan pelapis adalah salah satu cara bagi mengekalkan kerelevanan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada masa akan datang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin berkata, parti di bawah barisan kepimpinan sedia ada kini dilihat semakin membuka peluang kepada anak-anak muda terutamanya dari UMNOSiswa untuk mengetengahkan diri.
“Dalam MKT saya diberi tanggungjawab selaku Ketua Sekretariat Majlis Pengkaderan dan Latihan yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Beliau juga adalah seorang pemimpin yang mempunyai wawasan jauh, begitu percaya bahawa menyediakan kepimpinan pelapis adalah satu-satunya cara untuk kita mengekalkan UMNO ini relevan untuk selama-lamanya. Insya-Allah.
“Sebab itu di bawah kepimpinan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy, kita melihat bahawa parti memberi ruang dan peluang kepada siswa. Ini sebenarnya adalah menjadi satu tanggungjawab kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penutup Persidangan Mahasiswa UMNO (PMU) 2024, pada Isnin.
Menurutnya, UMNO Pahang telah memulakan langkah untuk memperkasakan bakat kepimpinan anak muda dengan melantik mereka sebagai Ahli Jawatankuasa di bahagian masing-masing.
“Kami di Pahang telah pun memulakan pelbagai langkah untuk memberi ruang ‘empowerment’ kepada anak-anak muda ini antaranya ialah Kerajaan Negeri sendiri yang telah mewujudkan Sekretariat Mahasiswa Anak Pahang dan saya sendiri dilantik sebagai pengarah.
“Kita juga mengupayakan Persatuan Mahasiswa Anak Pahang yang kepimpinan baharunya adalah terdiri daripada kepimpinan UMNOSiswa itu sendiri. Insya-Allah saya yakin dan percaya Datuk Seri Zambry juga akan ‘convince’ ahli-ahli MKT serta Pengerusi-Pengerusi Badan Perhubungan UMNO di negeri-negeri untuk memberi ruang kepada anak-anak UMNOSiswa kita ini.
“Alhamdulilah di Pahang, semua bahagian telah pun melantik Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian di kalangan UMNOSiswa. Ramai yang hadir pada hari ini juga adalah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian. Saya harap ianya memberi inspirasi kepada yang lain-lain,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan syabas kepada UMNOSiswa di atas komitmen diberikan mereka untuk program-program universiti dan juga beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang telah berlangsung.
“Kepada anak-anak, anda semua adalah aset UMNO. Anda semua adalah harapan kami. Di tangan anda semualah kami akan wariskan kepimpinan yang ada. Anda semua telah membuktikan komitmen dalam pelbagai acara bukan sahaja aktiviti universiti, tetapi dalam siri-siri PRK yang kita adakan.
“Terkini di Nenggiri, kita melihat sendiri bagaimana komitmen yang telah ditunjukkan oleh UMNOSiswa. Syabas dan tahniah kepada semua. Sudah lama kita tidak melihat anak-anak muda yang begitu berani.
“Keberanian ini bukan calang-calang, tabik hormat kepada anda semua,” katanya lagi.
PMU 2024 menyaksikan penyertaan mahasiswa dan mahasiswi dari 19 buah universiti melibatkan 430 orang pelajar.
Persidangan tersebut telah berlangsung selama satu hari bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 6.30 petang dan membincangkan mengenai lima kluster utama iaitu pendidikan, kebajikan, kerjaya, politik serta ekonomi.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli MKT, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO, Shamellya Norazizi, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Rafiq Mohd dan Presiden UMNOSiswa, Wan Muhammad Zuhir Ghazali. – UMNO Online