PAU 2024 Lebih Bermakna, Kejayaan PRK Nenggiri Jadi Momentum Mantapkan Perjuangan – Awang Aslee
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, kejayaan UMNO/Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan dengan majoriti yang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri memberi impak besar dan menjadikan perjalanan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang bakal diadakan lebih bermakna.
Katanya, kejayaan ini tentunya adalah hasil daripada semangat perjuangan yang akan dibawa oleh para perwakilan dengan rasa meluap-luap untuk terus memperkukuh UMNO/BN.
“PAU kali ini lebih bermakna apabila BN berjaya menawan kembali DUN Nenggiri dengan majoriti besar iaitu 3,352 undi.
“Kita percaya semangat perjuangan ini akan dibawa oleh para perwakilan yang tentunya meluap-luap lagi apabila kemenangan ini tercipta.
“Kita semua berharap bermula dari PAU kali ini, momentum tekad perjungan para ahli dan penyokong UMNO akan bertambah mantap lagi di seluruh negara,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang sebelum ini juga turut membantu kempen di Nenggiri bersama jentera UMNO Sabah mengakui berbangga dengan gerak kerja yang dilaksanakan anggota parti di semua peringkat.
“Kita berharap agar gerak kerja proaktif, tertib dan berhemah ini akan diteruskan dengan tekad semangat perjuangan yang terus menyala dan menjadi momentum kepada kejayaan-kejayaan lain kelak.
“Ini termasuklah di PRK (DUN) Mahkota bulan September dan kita juga berharap UMNO/BN akan beroleh kemenangan yang besar juga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan kelak.
“Dengan semangat yang ada ini, kita akan bawa kembali ke bahagian dan aplikasikan semangat perjuangan bagi meraih kemenangan untuk UMNO/BN,” katanya.
Dalam masa yang sama beliau melahirkan kesyukuran kerana semangat yang ditekankan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin disambut baik oleh anggota parti.
“Inilah semangat kebersamaan kita yang terus menerus berjuang, berusaha dan bekerja demi kelangsungan perjuangan UMNO.
“Untuk PAU 2024, semoga para perwakilan dapat memanfaatkan ruang bagi meraih pelbagai idea sebagai azimat agar diaplikasi di akar umbi kelak. Selamat bersidang ahli-ahli UMNO,” katanya lagi.
Dilaporkan, PAU 2024 akan diadakan bermula 21 hingga 24 Ogos dengan pelbagai pengisian yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Persidangan ini bakal melibatkan seramai 6,433 perwakilan dari seluruh negara iaitu diadakan seusai mesyuarat UMNO peringkat bahagian yang telah berlangsung dalam tempoh 21 Jun hingga 29 Julai lepas. Sebelum itu, mesyuarat peringkat Cawangan UMNO diadakan bermula 22 April hingga 2 Jun. – UMNO Online