Kemenangan Nenggiri Iringi Kemeriahan PAU, Semarak Semangat Gerak Kerja Terbaik – Sumali

 

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 dijangkakan lebih meriah dan penuh bermakna kepada perwakilan UMNO seluruh negara dengan kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, kata Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Beliau berkata ia sudah tentunya menyemarakkan lagi semangat dalam kalangan perwakilan bagi melaksanakan gerak kerja terbaik menempuhi pilihan raya seterusnya.

“Saya jangkakan PAU tahun ini lebih meriah lagi.

“Apatah lagi dengan kemenangan di Nenggiri semalam dan pastilah ramai ahli-ahli UMNO yang akan bersemangat untuk hadir melihat sendiri penganjuran PAU ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada raptai perbarisan PAU 2024 yang telah berlangsung di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pagi tadi.

Mengulas lanjut berkenaan raptai yang dilaksanakan tersebut, beliau berkata ia berjalan lancar kerana pelbagai persiapan telah dilakukan secara terperinci bagi memastikan perjalanan persidangan dalam keadaan terbaik.

Di samping itu Mohd Sumali dalam pada sama berharap 6,500 perwakilan yang akan hadir pada PAU ini memulakan perjalanan mereka ke Kuala Lumpur dengan sebaiknya.

“Alhamdulillah pagi ini kita mengadakan raptai dan juga acara perbarisan di luar dewan dan acara menaikkan bendera sepenuh PAU 2024. Saya harap kita doakan perjalanan PAU ini akan dapat dijayakan dengan aman, damai, meriah dan harmoni.

“Saya juga berharap kepada seluruh pewakilan daripada bahagian seluruh negara semoga selamat sampai ke destinasi bermula pada hari Rabu dengan keseluruhan pewakilan di seluruh negara yang hadir adalah berjumlah lebih kurang lebih kurang 6,500.

“Manakala 3,000 daripada pewakilan PAU sendiri, 1,100 daripada pewakilan Wanita, 1,100 daripada pewakilan Pergerakan Pemuda dan 1,100 daripada Pewakilan Puteri,” ujar beliau. – UMNO Online

 

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.