Johor Green Deal Dan Johor Sustainability Centre: Dua Inisiatif Utama Amalan Kelestarian Negeri – Onn Hafiz
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Johor Green Deal dan Johor Sustainability Centre adalah dua inisiatif utama Kerajaan Negeri Johor yang bertujuan untuk mempromosikan dan memperkukuhkan amalan kelestarian di negeri itu.
Demikian kata Menteri Besarnya Datuk Onn Hafiz Ghazi di forum Youth Sustainability Forum 2024 yang bertemakan ‘ASEAN Vision For Environmental Leadership’.
Tambahnya, forum yang dihadiri oleh sekitar 800 belia dari 11 negara ASEAN ini memainkan peranan penting dalam memperkasakan golongan muda dengan menyediakan platform yang dinamik untuk mereka berkongsi idea, berdialog dan bekerjasama dalam merangka pelan tindakan inovatif bagi menangani cabaran alam sekitar dan sosial.
“Kedua-dua inisiatif ini menekankan kepentingan kerjasama serantau sebagai asas kepada kejayaan jangka panjang, selaras dengan pendekatan ASEAN dalam menangani isu-isu merentasi sempadan.
“Saya yakin bahawa dengan usaha kolektif dan komitmen bersama, kita dapat mencapai kejayaan dalam memelihara alam sekitar dan memastikan masa depan yang lebih mampan untuk generasi akan datang,” kata Onn Hafiz dalam satu perkongsian di akaun X.
Justeru, Onn Hafiz berharap agar forum tersebut tidak hanya menghasilkan idea-idea kreatif dan inovatif, tetapi menjadi platform yang berkesan dalam melahirkan pemimpin belia yang berwawasan sekaligus menjadi peneraju utama dalam memimpin perubahan positif untuk dunia yang lebih hijau dan berdaya tahan, insya-Allah.
Terdahulu, dalam hantaran yang berlainan, Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor bersyukur atas kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
“Tahniah diucapkan kepada YB Mohd Azmawi Fikri Haji Abdul Ghani atas kemenangan ini.
“Semoga dapat menggalas tanggungjawab dan menjalankan amanah dengan sebaiknya. Terus bekerja, terus berkhidmat dan membawa suara rakyat Nenggiri,” ujarnya.
Onn Hafiz turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang telah memilih BN dan juga kepada jentera UMNO/BN negeri yang hadir membantu dan menjayakan kemenangan di DUN Nenggiri.– UMNO ONLINE