Isu 3R: Wan Rosdy Mohon Pihak Berkuasa Ambil Tindakan Terhadap Muhyiddin

KUANTAN, 17 Ogos – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memohon pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja mencetuskan suasana yang tidak harmoni dengan menyentuh isu 3R (kaum, agama, institusi Diraja) dalam kempen politiknya.

Tegas Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO, tindakan wajar diambil agar ia menjadi pengajaran dan peringatan kepada semua pihak.

“Saya sungguh kecewa dan terkilan dengan ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil Nenggiri yang secara biadab menyentuh kewibawaan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah sewaktu baginda sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

“Sebagai mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin tidak sepatutnya mengheret institusi istana dalam kempen politiknya yang sempit semata-mata untuk meraih undi dan mengaburi rakyat tentang apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selanjutnya, Wan Rosdy juga yakin dan percaya bahawa rakyat turut telah mengetahui dan bersetuju bagaimana kewibawaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku berjaya menghentikan kemelut politik negara daripada terus berpanjangan dengan menubuhkan Kerajaan Perpaduan, di mana Pas dan Bersatu telah menolak titah Tuanku ini.

Justeru, Wan Rosdy berharap rakyat di negara ini perlu terus menghormati institusi Diraja yang merupakan lambang kedaulatan dan kestabilan negara serta simbol penyatuan dan pelindung rakyat jelata. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.