PAU 2024 Aplikasi Kepentingan Rakyat, Platform Perhalusi Gerak Kerja Masa Hadapan – Sharif Musa

LAHAD DATU, 16 Ogos – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 bakal berlangsung bermula 21 Ogos depan dengan menghimpunkan hampir 7,000 perwakilan dari seluruh negara melibatkan pelbagai peringkat usia.

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menekankan pentingnya PAU 2024 sebagai manifestasi menterjemah kebersamaan anggota parti dalam meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

“PAU 2024 bukan mewakili pihak pembangkang dan kerajaan sebaliknya ia mewakili kepentingan rakyat terutamanya untuk nasib orang Melayu dengan diterjemahkan dalam perhimpunan tersebut.

“PAU 2024 ini juga menjadi platform untuk memperhalusi strategi dan tindakan yang akan diambil dalam mencatur kedudukannya di persada politik demi memastikan UMNO tampil sebagai barisan hadapan dengan mengikut peredaran zaman dan wawasan masa hadapan,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, melalui persidangan tersebut pelbagai usul dan cadangan diangkat, dibahas dan percambahan idea-idea baharu dikemukakan agar dapat diaplikasi langkah terbaik untuk semua.

“Apa yang dilaksanakan oleh UMNO bukanlah untuk anggota parti semata-mata kerana perjuangannya mencakupi masyarakat secara holistik malah banyak usul dan cadangan yang diangkat dalam PAU telah dilaksana oleh kerajaan sebagai agenda baharu.

“Persidangan UMNO membincangkan pelbagai perkara, dari ekonomi, pendidikan, masa depan politik, agama dan macam-macam lagi malah banyak yang diangkat dalam dasar kerajaan dan memberi manfaat kepada rakyat keseluruhan tanpa melihat warna politik atau ideologi mereka.

“Tahun lalu, ada dibincangkan Kongres Ekonomi Melayu yang telah dilaksana oleh Kerajaan Perpaduan awal tahun ini, begitu juga dengan Dasar Tahfiz Negara dan pelaksanaan TVET yang diangkat oleh Presiden UMNO dan dilaksanakan oleh kerajaan di bawah seliaan beliau sendiri selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.”

Justeru tegasnya, PAU 2024 bukanlah sekadar persidangan dalam parti politik tetapi ia adalah manifestasi sebuah harapan masyarakat keseluruhannya demi masa hadapan yang lebih baik.

“Untuk para perwakilan dari Sabah, ini juga adalah peluang mendengar amanat sebelum mendepani ‘perang’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Marilah kita semarakkan persidangan UMNO ini dengan tekad untuk memanfaatkan usaha yang terbaik apabila pulang ke bahagian masing-masing kelak. Selamat bersidang para perwakilan UMNO 2024,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.