Kekal Teguh Bersemangat Pada PAU 2024, Bawa Agenda Terbaik Demi Manfaat Rakyat – Haryaty

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Haryaty Hamdzah mengharapkan akar umbi parti terus kekal bersemangat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 bagi menantikan agenda terbaik untuk dibawa demi manfaat rakyat.

Jelas beliau, PAU juga sebagai landasan untuk persiapan dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) bagi merangka strategi-strategi bagi pelaksanaan di semua peringkat.

“Pada PAU ini kita datang dengan penuh semangat. Saya sendiri teruja untuk mendengar mandat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Saya lihat bahawa komitmen parti kita yang bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan ini mungkin akan dikupas dengan lebih lagi.

“… dan persiapan kita lagi arah dua tahun lagi menjelang musim Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri, ia juga mungkin akan dikupas oleh para pewakilan.

“Saya merasakan kemeriahannya nanti daripada para pewakilan yang datang nanti, satu jumlah yang ramai kerana sudah ada ketua penerangan,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Haryaty yang juga Ketua Wanita UMNO Melaka dalam pada itu meluahkan dukacita beliau kerana Wanita UMNO baru sahaja kehilangan dua orang tokoh iaitu bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman dan Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia baru-baru ini.

“Bagi Wanita kita ada sedikit rasa kesedihan dengan kehilangan Datuk Sharifah Azizah dan Tan Sri Dr Siti Zaharah. Dua-dua tokoh ini insan yang hebat dalam Wanita UMNO dan saya percaya pada persidangan ini juga akan diberikan penghormatan kepada mereka yang telah kembali rahmatullah dan mereka yang telah banyak berjuang kepada parti ini khasnya untuk kaum wanita,” ujar beliau.

PAU 2024 akan dianjurkan pada 21 hingga 24 Ogos ini melibatkan seramai 6,433 perwakilan daripada seluruh negara yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Dijadual bermula pada Khamis dengan Taklimat Presiden pada sebelah petangnya disusuli Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda Dan Puteri UMNO 2024 sebelum persidangan sepenuhnya pada keesokkannya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.