PAU 2024: Terus Perkukuh Ukhuwah Dalam Kalangan Keluarga Besar UMNO – Rosnah

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengajak akar umbi parti untuk terus memperkukuh ukhuwah dalam kalangan keluarga besar UMNO.

Menurut beliau ia penting bagi memastikan kesatuan ini terus dibina untuk mendepani cabaran politik baharu kelak.

“Harus memastikan bahawa parti kita berada dalam landasan yang cemerlang untuk menuju ke arah bukan sahaja pilihan raya tapi apa sahaja yang akan berlaku kerana kita berhadapan dengan pelbagai cabaran,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia menambah semangat kesatuan ini amat bernilai bagi membawa perjuangan parti dalam membela nasib orang Melayu dan Islam terus terlaksana.

Ujar Rosnah lagi ia juga untuk menangkis sentimen negatif yang sengaja dicipta pihak lawan.

“Hanya kita selaku ahli sahaja mampu untuk membawa parti ke hadapan dan janganlah terbawa-bawa dengan sentimen yang tiba-tiba dimainkan oleh pihak pembangkang yang bukan rakan kita di luar sana yang ingin melihat perpecahan berlaku.

“Semoga PAU kali ini akan membawa mesej yang cukup jelas kepada kita semua sebagai ahli kepada parti keramat ini untuk bersatu,” ujar beliau.

PAU 2024 akan berlangsung pada 21 Ogos ini yang akan dimulakan dengan perasmian sayap-sayap oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan mengambil tempat pada esoknya.

Hari pertama tersebut juga menyaksikan Taklimat Presiden oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi menyampaikan aspirasi beliau kepada akar umbi parti untuk memastikan parti ini terus relevan dalam mendepani dinamika politik hari ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.